MIRI: Seorang remaja lelaki disyaki lemas ketika mandi di Sungai Tinjar berhampiran Rumah Panjang Magdeline Lubok Mulong, Melugu Bakong di sini, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam kenyataan mengesahkan perkara tersebut apabila operasi mencari dan menyelamat telah digerakkan serta-merta.
Menurut kenyataan, mangsa yang dihilang dikenali sebagai Agustine Ujang Stewart, 13 tahun.
“Sekitar 8 pagi mangsa mandi bersama-sama dua rakan yang masing-masing berusia 13 dan 15 tahun, difahamkan tiga meter dari tebing.
“Tiba-tiba mangsa tenggelam. Rakannya tidak berupaya menyelamat memandangkan mereka juga tidak pandai berenang,” katanya.
Jelasnya, sehingga operasi pencarian ditangguhkan 4 petang tadi, mangsa masih belum dijumpai.
Semasa mandi, Agustine tidak berbaju dan menggunakan seluar pendek hitam.
Untuk rekod, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan oleh bomba kira-kira 2 petang bersama penduduk telah menelusuri sungai Tinjar sejauh satu kilometer.
Selain itu, penduduk turut menggunakan inisiatif menjala, memancing dan menyelam di tempat mangsa dilaporkan lemas.