Pusat asuhan di pejabat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Datuk Seri Fatimah Abdullah

KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) menggalakkan majikan di sektor awam dan swasta di Sarawak menyediakan pusat asuhan atau taska di pejabat masing-masing.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, bagaimanapun apa yang sering menjadi masalah isu tempat yang sesuai dijadikan taska di sesebuah organisasi.

“Justeru, kita berharap agar pada masa akan datang pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat melihat perkara ini khususnya melibatkan pembinaan bangunan baharu organisasi besar atau badan korporat.

“Bangunan atau ruangan khas untuk mewujudkan taska perlu dimasukkan di dalam pelan bangunan,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke taska di tempat kerja di Sedidik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), di sini, semalam.

Sehubungan itu, tambah Fatimah untuk menyediakan taska di tempat kerja majikan juga boleh mengubah suai bilik yang sedia ada dan ini adalah apa yang sering mereka cadangkan.

“Kita juga sedia membantu dari segi khidmat nasihat mengenai komponen yang perlu ada, yang perlu patuhi supaya nanti dapat diluluskan dari segi pengoperasiannya untuk mendapatkan lesen.

“Ini kerana penyediaan taska penting supaya dapat memberi sistem sokongan kepada pekerja terutamanya ibu bapa muda yang baharu melahirkan anak atau baharu sahaja memulakan keluarga.

“Dengan adanya pusat asuhan, ibu bapa dapat bekerja dengan baik kerana tahu anak mereka berada di tempat yang selamat, dan perkara ini juga akan menyumbang kepada produktiviti,” ujarnya.

Mengenai lawatan tersebut, beliau sempat meluangkan masa bersama-sama dengan anak-anak asuhan di Taska Sedidik Unimas dan turut mengiringi beliau adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa).

Fatimah memaklumkan KPWK melaksanakan Anugerah Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK) Berkualiti pada tahun 2022 dan taska di Tempat Kerja SeDidik Unimas telah di anugerahkan Anugerah Taska Berkualiti 2022.

“Walaupun begitu, kita perlu sentiasa berusaha menambah baik kualiti di premis operasi termasuk memandang serius isu keselamatan supaya meningkatkan keyakinan dalam kalangan ibu bapa dan menyediakan tempat selesa untuk kanak- kanak,” jelasnya.

Turut diadakan semalam penyerahan tabung secara simbolik sempena program mula belajar menabung bagi menggalakkan kanak-kanak menyimpan dari awal usia.

Setakat ini, Taska Sedidik Unimas mempunyai 70 kanak-kanak yang berusia enam bulan hingga empat tahun.

Pada masa sama, setakat 30 Disember 2022, terdapat 3,062 buah Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK) yang berdaftar di seluruh Sarawak dan 228 buah daripadanya adalah taska yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS).

Berkaitan