KUALA LUMPUR: Jumlah pulangan Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi 2017 ialah sebanyak 8.25 sen sesaham, peningkatan 12 peratus berbanding jumlah pulangan tahun lalu.
Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan dividen 7.00 sen sesaham, beserta bonus 0.25 sen sesaham dan Bonus Khas Ulang Tahun PNB Ke-40 sebanyak 1.00 sen sesaham bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Bonus Khas Ulang Tahun tahun ini menjadikan 2017 satu-satunya tahun pulangan ASB terdiri daripada tiga komponen, berbanding dua komponen sebelum ini.
Bagaimanapun, menurut PNB, pengagihan Bonus Khas Ulang Tahun tersebut hanya terhad kepada pegangan 10,000 unit yang pertama.
Menurut PNB, agihan tahun ini bakal melibatkan jumlah sebanyak RM10.7 bilion, memanfaatkan 9.1 juta pemegang.
PNB berkata, ASB mencatatkan pendapatan bersih sebanyak RM8.91 bilion setakat 30 November, 2017.
Bayaran akan dibuat pada 1 Januari 2018, manakala Bonus Ulang Tahun Khas akan dikreditkan pada 1 Mac 2018.
Selain itu, PNB turut mengumumkan pengagihan pendapatan 3.65 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional (ASN), mewakili hasil dividen sebanyak 5.0 peratus. – Sarawakvoice