MIRI: Datuk Sebastian Ting berkata bahawa keraguan SUPP selama ini bahawa UPP yang kini dijenamakan menjadi Parti Sarawak Bersatu (PSB) tidak pernah jujur kepada parti itu adalah benar.
Setiausaha Agung SUPP itu berkata, tindakan PSB menerima pemimpin dan ahli parti komponen GPS seperti dilaporkan berita kelmarin adalah bukti jelas akan hakikat itu.
Kelmarin antara yang mengumumkan keluar PRS dan menyertai PSB ialah Ahli Parlimen Lubok Antu Datuk Masir Kujat.
“SUPP amat benar selama ini bahawa UPP tidak pernah jujur kepada SUPP,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 4 Januari lalu, SUPP sekali lagi mengeluarkan kenyataan bahawa UPP tidak mesra SUPP.
“Saya telah menyatakan bahawa jika UPP tidak jujur dan mesra kepada SUPP, maka tidak masuk akal untuk mereka jujur dan mesra kepada GPS.
“SUPP ialah sebahagian daripada GPS,” tegasnya.
Justeru, SUPP, katanya menyokong cadangan penarikan semua pelantikan kerajaan kepada semua pemimpin PSB termasuk jawatan menteri, setiausaha politik, ahli majlis tempatan dan pengerusi majlis perbandaran.
Setiausaha Agung PRS Datuk Janang Bungsu kelmarin menggesa langkah demikian diambil kerajaan Sarawak terhadap pemimpin terbabit.