KUCHING: Pelibatan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan pihak berkepentingan serta ahli parlimen akan diadakan sebelum pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dibentangkan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kebiasaannya sebelum akta itu dibentangkan di parlimen, kementerian akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk kumpulan OKU serta mereka yang akan menguatkuasakan undangundang.
“Ia prosedur biasa yang kami lakukan. Kami juga akan berbincang dengan ahli parlimen sebelum pembentangan.
“Ini kerana kadang-kadang ada ahli parlimen yang tidak bersetuju dan kita perlu memuktamadkannya terlebih dahulu.
Dan, kadang-kadang kita perlu mematuhi permintaan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Kasih Ramadan YKN dengan kerjasama Alliance Islamic Bank Berhad di Mydin Vista Tunku di sini, kelmarin.
Menurut Nancy, pada masa ini, mereka masih menunggu untuk menjalinkan pelibatan semua pihak yang berkuasa sehingga semuanya dimuktamadkan.
Terdahulu, pindaan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 dijangka dimuktamadkan menjelang Jun ini, memberi tumpuan kepada pemerkasaan dan penguatkuasaan bagi menjaga hak golongan itu.
Nancy berkata, pindaan itu perlu kerana ramai yang berasakan undang-undang semasa lemah atau tidak kukuh.
“Kementerian sedang membincangkan bahawa perlu ada aspek penguatkuasaan dalam pindaan itu.
“Kita perlukan undangundang yang lebih kukuh,” katanya lagi.