KUCHING: Kejiranan Mesra (KJM) diminta untuk meneruskan usaha baik dengan penganjuran pelbagai program dan aktiviti yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, ia merupakan pendekatan terbaik untuk memastikan golongan belia disediakan dengan aktiviti berfaedah.
“Penganjuran aktiviti berbentuk sukan boleh diadakan pada hujung minggu, kita juga boleh menggalakkan penglibatan generasi muda.
“Usaha ini juga boleh membantu merapatkan lagi silaturahim dalam kalangan penduduk di sesuatu kawasan termasuk kampung, taman perumahan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan Karnival KJM 2022 di Padang Merdeka semalam.
Dr. Abdul Rahman menjelaskan, KJM mempunyai kelebihan berbanding dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain kerana pertubuhan itu disokong oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
“Sesetengah pertubuhan yang lain perlu berusaha atau bergerak sendiri termasuk dalam usaha mencari dana, idea dan sebagainya. Ia bergantung kepada kewibawaan mereka sendiri.”
Bagaimanapun, berbeza dengan KJM kerana dibelakang mereka sentiasa ada DBKU membantu dan membimbing. Ini merupakan kerjasama yang positif dan kelebihan kepada KJM.
“Justeru, saya ingin menyeru jawatankuasa KJM untuk mengambil pelung ini dan atur program sepanjang tahun dalam pelbagai bentuk dengan syarat ia memberikan manfaat kepada masyarakat setempat,” jelasnya.
KJM merupakan program komuniti yang lahir atas ilham Yang Di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan dilancarkan pada 2001. Mengenai Karnival KJM 2022, ia merupakan kemuncak pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pertubuhan tersebut sepanjang tahun ini.
KJM dengan seliaan dan sokongan DBKU diberi kepercayaan untuk menganjurkan Karnival KJM 2022 selama dua hari iaitu pada 24 hingga 25 September dengan objektif melahirkan komuniti KJM khususnya belia yang menggemari aktiviti riadah sosial.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan untuk pengisian kepada penganjuran Karnival KJM 2022. Ia terbahagi kepada tiga segmen utama, iaitu Sukan, Sukan Rakyat dan Perkhidmatan DBKU.