Program Senator Sekolah Tenpin Boling jana ramai pelapis muda Sarawak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
MERIAH.... Senator Negara Datuk Ahmad Ibrahim (tengah) bersama pelajar-pelajar sekolah dalam program Senator Sekolah Tenpin Boling di Megalanes Sarawak Emart Batu Kawa.

KUCHING: Program Senator Sekolah Tenpin Boling julung kali diadakan di Sarawak diharap mampu menjadi medium penting bagi meningkatkan pencapaian Tenpin Boling Sarawak bermula daripada akar umbi.

Sekali gus memberi pendedahan kepada para pelajar sekolah khususnya di kawasan pinggir bandar untuk tidak ketinggalan dalam mengetahui tentang sukan Tenpin boling yang terdapat di Sarawak.

Program tersebut menyaksikan seramai lebih 100 pelajar dari tujuh buah sekolah di bahagian Kuching menyertai acara yang berlangsung di Pusat Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa.

MERIAH…. Senator Negara Datuk Ahmad Ibrahim (tengah) bersama pelajar-pelajar sekolah dalam program Senator Sekolah Tenpin Boling di Megalanes Sarawak Emart Batu Kawa.

Senator Negara Datuk Ahmad Ibrahim berkata, program itu diwujudkan bertujuan mendedahkan golongan muda khususnya pelajar bermula dari kecil untuk melibatkan diri dalam sukan boling.

“Ini merupakan program baharu yang kita cadangkan kepada Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS) dan pihak ABAS telah berbesar hati untuk menerima cabaran tersebut demi memajukan sukan tenpin boling.

“Ideanya tercetus kerana sebagai ibu bapa kerisauan kita adalah khuatir anak-anak meluangkan masa lapang mereka dengan aktiviti tidak berfaedah.

“Jadi dengan pendedahan sukan boling, sekurang-kurangnya mereka ada aktiviti sukan selain bola sepak dan sebagainya.

Hal ini kerana sukan boling tidak memilih umur, saiz badan serta fasiliti keselamatannya adalah selamat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan program terbabit di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan program kali pertama itu hanya melibatkan sekolah di bahagian Kuching dan berharap dapat melebarkannya ke kawasan Sibu, Bintulu dan juga Miri pada masa akan datang.

Program menerusi peruntukan berjumlah RM36,000 hasil sumbangan senator itu dianjurkan oleh pihak ABAS dengan kerjasama daripada Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Tujuh buah sekolah yang menyertai ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Sg Tapang, Sekolah Kebangsaan (SK) Garland, Sk Paya Mebi, Sk Landeh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa, SMK Matang Jaya, SMK Matang Hilir serta ibu bapa.

Sementara itu, Pegawai Eksekutif SSC Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, pihaknya menerima baik program tersebut di samping mengakui program memberi peluang pendedahan lebih banyak kepada pelajar khasnya di kawasan luar dan pinggir bandar.

Berkaitan