Program Muaythai di Kapit

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
AKAN BERLANGSUNG....Poster program terbabit.

KUCHING: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) akan menganjurkan Kapit Muaythai Challenge 2023 sebagai pembuka tirai kepada kalendar aktiviti badan induk berkenaan tahun ini.

Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Saberkas Cawangan Bukit Goram dan akan diadakan di Dewan Suarah Kapit pada 16 hingga 17 Februari ini yang turut disertai atlet muay seluruh bahagian negeri ini.

Beberapa perlawanan semi profesional dan profesional telah diatur dan kemuncak saingan untuk merebut kejuaraan Kapit Muaythai Challenge.

Serentak dengan itu, PMNS akan turut menganjurkan program Mari Mencuba Sukan Muaythai pada tarikh dan gelanggang yang sama.

Untuk program tersebut, ia akan diadakan dalam dua sesi iaitu bermula pukul 9:00 hingga 11:00 pagi disusuli 2:00 hingga 4:00 petang.

Presiden PMNS, Haji Jumaat Ibrahim memberitahu, Kapit Muaythai Challenge dan Mari Mencuba Sukan Muaythai menjadi aktiviti pembuka tirai pihaknya tahun ini dalam usaha meneruskan pembangunan sukan Muaythai di Sarawak.

“Kapit dipilih sebagai lokasi pertama penganjuran program ini kerana ramai atlet muda berpotensi mengambil kira maklum balas dberikan menerusi program seumpamanya dianjurkan tahun lepas,” ujar Jumaat.

Menurut beliau, pihaknya mengambil inisiatif dengan menganjurkan Kapit Muaythai Challenge 2023 yang julung kali diadakan di bahagian itu kerana PMNS melihat ada potensi besar dalam kalangan atlet muda di bahagian tersebut.

Tambah Jumaat, barisan atlet muda ini perlu diberi peluang untuk dinilai kebolehan bersaing dalam kejohanan kompetitif.

“Saya percaya mereka yang menunjukkan potensi akan kita serap dalam skuad pelapis sebagai persiapan menghadapi kejohanan-kejohanan kebangsaan mahu pun antarabangsa kelak,” jelas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan belia di Kapit untuk turun ke Dewan Suarah Kapit bagi menyertai program tersebut.

Sebelum itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak,
Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS)
atas sokongan berterusan yang diberikan kepada PMNS

“PMNS juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Saberkas Cawanagn Bukit Goram dan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran program berkenaan,” katanya lagi.

Berkaitan