SIBU: Program Lan Berambeh Sungkei yang menghimpunkan rakyat Sibu yang berlainan agama dan latar belakang bersama-sama berbuka puasa dengan komuniti Islam di sini akan diadakan pada 8 April ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, ia akan diadakan di lokasi asalnya iaitu di Dataran Tun Tuanku Bujang.
Jelas beliau, program tersebut akan bermula seawal jam 5.30 petang dan terbuka kepada orang ramai.
“Orang ramai dari semua lapisan masyarakat boleh mengambil bahagian dalam majlis berbuka puasa ala-ala berkelah ini.
“Sehubungan itu, jawatankuasa penganjur menjemput komuniti bukan Islam menyertai acara ini dengan membawa makanan ala-ala berkelah,” katanya kepada media di sini,kelmarin.
Adun Nangka itu memberitahu, pihak penganjur akan menyediakan kurma percuma kepada peserta.
“Marilah kita jadikan Sibu sebagai contoh toleransi kepelbagaian beragama,” ujar beliau.
Untuk rekod, tahun lalu program itu mendapat penyertaan lebih dari 10,000 peserta.
Diilhamkan oleh Dr Annuar, program ini mula diadakan pada tahun 2017 bagi mengukuhkan perpaduan kaum dan keharmonian agama dalam kalangan kepelbagaian komuniti di Sibu.