KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menzahirkan kegembiraan di atas keseriusan Kerajaan Persekutuan dalam menyelesaikan isu berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, isu berhubung tuntutan hak Sarawak seperti termaktub dalam MA63 telah lama tertunggak.
“Saya gembira kerana Kerajaan Persekutuan mengambil usaha yang serius dengan menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam sesi penggulungan, semalam.
Jelasnya, MTPMA63 disokong oleh dua jawatankuasa iaitu Jawatankuasa Teknikal dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Jawatankuasa Penyelarasan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.
“Hasil Mesyuarat MTPMA63 pada awal tahun lalu, beberapa perkara dipersetujui antaranya pelantikan Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak sebagai wakil Kerajaan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) Sarawak diiktiraf sebagai jabatan teknikal dan diberi kuasa melaksanakan projek Kerajaan Persekutuan di Sarawak dengan had sehingga RM50 juta.
“Semakan peruntukan kewangan pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan untuk meningkatkan jumlah pemberian khas kepada Sarawak sehingga RM300 juta.
“Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sempadan Sarawak-Kalimantan,” ujarnya.
Tambah Abang Johari, Anwar memberi kelulusan awal bagi peruntukan tambahan sebanyak RM1.0 bilion untuk menaik taraf infrastruktur, meningkatkan keselamatan dan meningkatkan keupayaan kompleks ICQS di sempadan Sarawak dan Sabah.
“Kita kini bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan projek-projek tersebut,” tambahnya.