KUCHING: Polis menahan tiga lelaki terdiri daripada dua warga asing serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM307,270 menerusi dua serbuan berasingan pusat hiburan di Jalan Calliandra dan Bandar Baru Permyjaya Miri, Jumaat lalu.
Persuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, suspek berumur antara 22 hingga 34 tahun yang merupakan pelayan premis pusat hiburan ditangkap antara jam 10.45 pagi dan 1.15 petang oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak.
Katanya, hasil serbuan, polis telah merampas 130 biji pil Eramin 5 (36.7 gram), ketamin (68.4 gram), 443 biji pil ektasi (177.4 gram), campuran serbuk ektasi dan jus (4,043.2 gram) dan serbuk ektasi (1,742.8 gram).
“Modus operandi sindiket suspek mendapatkan bekalan dadah dari seorang pembekal di Miri.
“Suspek hanya menjual dadah kepada pelanggan yang dikenali di premis tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini hari ini.
Beliau berkata, pihak polis turut menyita wang tunai berjumlah RM2,637 untuk siasatan di bawah Seksyen 25 Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1998.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap dua suspek warga asing didapati negatif dadah dan tiada rekod dadah dan jenayah sementara seorang lagi suspek mempunyai satu rekod dadah.
“Ketiga-tiga suspek ditahan reman bermula Sabtu hingga 26 Mei di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah,” jelasnya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup.