Pertemuan dengan duta EU: Rakyat tidak akan termakan propaganda Pakatan Harapan, kata Ahli MT UMNO

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan seolah-olah mahu mencetuskan persepsi negatif terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak apabila pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad mengadakan pertemuan dengan duta negara-negara Kesatuan Eropah (EU), baru-baru ini.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim, Pakatan Harapan yang diterajui DAP adalah terdesak dan tidak rasional apabila menuntut kerajaan melaksanakan pilihan raya yang adil.

Beliau menyifatkan pembangkang sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk meraih kepentingan politik.

“Semua ini hanyalah propaganda murahan dan menjadi irama baharu yang dimainkan Pakatan Harapan. Sikap Pakatan Harapan itu langsung tidak berpaksikan keadaan sebenar di Malaysia sekali gus memperlihatkan sikap mereka sendiri tidak mahu menerima hakikat amalan demokrasi yang telus di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Khamis lalu, Tun Mahathir mengadakan pertemuan dengan 16 duta EU di kediaman Ketua Delegasi EU ke Malaysia, Maria Castillo Fernandez.

Katanya, beliau percaya seluruh rakyat Malaysia tidak akan termakan dengan pembohongan yang dimainkan oleh Pakatan Harapan.

“Sebaliknya, rakyat tahu bahawa hanya Barisan Nasional (BN) sahaja yang dapat membawa kemakmuran untuk rakyat dan negara pada masa depan,” ujar Irmorhizam yang juga Ahli parlimen Kuala Selangor.

Tegasnya, tindakan Pakatan Harapan yang menyifatkan pilihan raya di negara ini tidak adil adalah tidak bertanggungjawab, sekali gus menghina kakitangan Suruhanjaya Pilihan raya (SPR). — Sarawakvoice

Berkaitan