Persatuan teksi Langkawi demo dakwa Uber, Grabcar masukkan pasir dalam periuk…

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

LANGKAWI: Tidak semua pihak senang menerima idea perkhidmatan e-hailing bertaraf global seperti Uber dan Grabcar khususnya pengusaha atau pemandu teksi dan kereta sewa tempatan.

Di Langkawi, sekitar 400 pengusaha teksi pada Isnin mengadakan demonstrasi membantah operasi perkhidmatan Uber dan Grabcar di pulau peranginan itu.

Diketuai Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Teksi Langkawi, Ramli Ahmad dan Pengerusi Pertubuhan Teksi Malaysia Cawangan Langkawi, Saad Mahmud penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi sejam di Laman Marmar Langkawi.

Bercakap kepada media seperti dilaporkan Bernama, Ramli berkata kedua-dua persatuan menghantar memorandum bantahan kepada beberapa pihak berkuasa termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan wakil rakyat di Langkawi.

Ramli mengingatkan pihak tertentu agar tidak memperkecil lebih 1,200 pengusaha teksi di Langkawi.

“Jangan cuba nak masukkan pasir dalam periuk nasi kami,” kata Ramli.

Manakala, Saad pula mendakwa Uber dan Grabcar merupakan agenda asing yang dibawa masuk mengganggu gugat perkhidmatan teksi di Langkawi.

Uber ialah syarikat jaringan pengangkutan global yang berasal dari San Francisco, California.

Syarikat ini mencipta aplikasi penyedia pengangkutan yang menghubungkan penumpang dengan pemandu kenderaan sewaan serta khidmat tumpangan.

Syarikat mengatur khidmat jemputan di pelbagai kota di seluruh dunia menggunakan khidmat pesanan pesan teks atau menggunakan aplikasi bergerak yang khusus.

Pada Jun 2014, Uber memiliki nilai syarikat sebesar AS$18.2 bilion (RM80 bilion).

Manakala, Grabcar atau GrabTaxi merupakan syarikat yang berasal dari Singapura yang menyediakan aplikasi khidmat pengangkutan yang kini beroperasi di enam negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Filipina.

Hingga Mac 2015, jumlah pengguna Grabcar mencapai 3.8 juta orang.

Grabcar mudah dioperasikan menggunakan sistem operasi Android, iOS dan BlackBerry.

Operasi perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan pengurusan global ini dipercayai mengancam perkhidmatan pengangkutan awam setempat khususnya yang sejenis dengannya teksi atau kereta sewa.

Sebelum ini beberapa siri demonstrasi diadakan membantah perkhidmatan Uber dan GrabCar.

Di ibu negara pada 2016, kumpulan pemandu teksi berkumpul menyeru agar kerajaan mengharamkan Uber dan Grabcar.

Pemandu Teksi Lembah Klang pernah mendakwa persaingan berkenaan menjejaskan pendapatan pemandu teksi setempat.

Mereka mendakwa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) tidak tegas menangani isu berkenaan.

Pada 2016 di Jalan Bukit Bintang, 300 pemandu teksi memprotes membantah perkhidmatan Uber dan GrabCar.

“Kami bukan nak demo saja-saja, kami buat ini sebab kami sudah terseksa sebab pemandu Uber dan GrabCar telah mengacau periuk nasi kami,” ujar mereka. – Sarawakvoice

Berkaitan