KUCHING: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Arang memerlukan peruntukan untuk menaik taraf PTA Diamond Hall dan membina laluan pejalan kaki berbumbung di sekolah berkenaan.
Yang Dipertuanya, Mohammad Kadet berkata, ia bagi memberi keselesaan kepada warga sekolah dan pelajar.
Menurutnya, dewan sedia ada tidak mampu menampung 755 pelajar. “Bersarlah harapan kami sekiranya Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen dapat membantu menaik taraf dewan ini.
“Kami turut berharap laluan pejalan kaki berbumbung dapat dibina untuk memberi keselesaan kepada warga sekolah, pelajar dan ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian PTA Diamond Hall dan Penyerahan Papan Interaktif Pintar di SK Jalan Arang semalam yang disempurnakan oleh Chong Chieng Jen.
Mohammad menjelaskan, PTA Diamond Hall dibina dengan kos RM400,000 hasil sumbangan Chong pada 2019.
“Kita sangat menghargai sumbangan ini dan berterima kasih kepada beliau (Chong) kerana menyumbangkan dana membina dewan ini.
“Dewan ini bukan sahaja digunakan untuk aktiviti pembelajaran tetapi aktiviti kokurikulum selain perhimpunan mingguan sekolah.
“Aktiviti seperti Majlis Apresiasi Pelajar, Majlis Khatam al-Quran, Kem Kepimpinan dan Mesyuarat Agung PIBG turut dilangsungkan di dewan ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, infrastruktur sempurna dan mencukupi penting untuk keselesaan pelajar. “Ia secara tidak langsung dapat melahirkan pelajar yang cinta dan sayang akan sekolah,” jelasnya. Guru Besar SK Jalan Arang Edwars Peter Bajat turut hadir.