Perkasa penggunaan bahasa Melayu

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Datuk Abdullah Saidol

KUCHING: Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong usaha murni Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memperkasakan bahasa Melayu termasuk pelaksanaan Agenda 2023 DBP Cawangan Sarawak.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Datuk Abdullah Saidol berkata, keutamaan program yang dianjurkan menerusi agenda tersebut juga bersifat menyatukan dan memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, ia juga dilihat membantu memperkasakan bahasa kebangsaan atau bahasa Melayu itu sendiri.

“Justeru, dalam konteks Perlembagaan Sarawak kita tidak ada bahasa rasmi, kita juga mementingkan penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan, bahasa ilmu dan sebagainya.

“Atas dasar semangat kebangsaan, mendokong Rukun Negara menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam urusan rasmi negara tetapi di peringkat Kerajaan Sarawak juga tidak keberatan untuk menggunakan bahasa Inggeris bagi urusan surat menyurat dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Agenda 2023 DBP Cawangan Sarawak di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak, di sini, kelmarin.

Sementara, Pengarah DBP Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai memberitahu, Agenda 2023 bertujuan menzahirkan secara bertulis perancangan pihaknya tentang program yang akan diadakan sepanjang tahun ini khususnya kepada masyarakat Sarawak.

Katanya, Agenda 2023 tersebut juga terhasil melalui Bengkel Pengurusan DBP Cawangan Sarawak yang diadakan pada 10 hingga 11 Januari 2023 di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak.

“Secara umumnya, sekitar 122 program yang dirancang dan direkodkan di dalam Agenda 2023 ini.

“Bagaimanapun, kita menjangkakan program DBP Sarawak akan lebih daripada yang dirancang apabila adanya permintaan rakan sinergi, badan bukan kerajaan (NGO) agensi di bawah Kerajaan Sarawak mahupun agensi persekutuan untuk mengadakan program atau kegiatan yang dirasakan sesuai dengan peranan dan tanggungiawab DBP,” ujarnya.

Abang Haliman juga memberitahu, pelancaran Agenda 2023 DBP Cawangan Sarawak ini menjadi nilai tambah dalam mengetengahkan peranan dan tanggungjawab agensi tersebut.

“Ia seterusnya menjadi asas kesedaran DBP Sarawak tentang peri pentingnya maklumat yang bersifat program in untuk dikongsi secara menyeluruh, meluas dan berfokus, khususnya untuk masyarakat negeri ini pada awal tahun.

“Mekanisme perkongsian maklumat ini juga menjadi ciri ketelusan DBP Cawangan Sarawak untuk menguar-uarkan hala tuju yang selari dengan hasrat Sarawak Maju menielang 2030,” jelasnya.

Hadir sama Ketua Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli; Pensyarah Kanan, Universiti Malaysia Sarawak Chuah Kee Man serta wakil yang lain.

Berkaitan