BINTULU: Pengurangan masa perjalanan dari Miri ke Bintulu berikutan penambahbaikan infrastruktur jalan raya merupakan bukti signifikan transformasi dan kemajuan yang telah dicapai oleh Sarawak.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata rakyat tidak boleh menafikan bahawa Sarawak telah berubah dengan ketara.

“Pada tahun 80-an, perjalanan dari Bekenu ke Miri di jalan berbatu mengambil masa lebih daripada dua jam.
“Namun hari ini, jika saya tidak membuat pitstop di Pantai Bungai, Subis, saya boleh sampai ke Bintulu dalam masa lebih kurang satu jam.

“Ini terbukti daripada pembangunan dan kemajuan yang telah dialami Sarawak,” katanya dengan bangga kepada media semasa ditemui usai melawat gerai jualan sempena sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka Bahagian Bintulu di Naim Street Mall, Bintulu Paragon, petang tadi.
Katanya lagi, beliau turut teruja melihat kewujudan banyak ladang pertanian dan industri berat di Samalaju sepanjang mengetuai Konvoi Sarawak Merdeka dari Miri ke Bintulu.

Sebagai saksi secara peribadi perubahan positif yang berlaku, beliau juga teruja dengan suasana bersama harmoni dalam kalangan rakyat negeri ini.
Beliau memuji perpaduan yang dipamerkan oleh rakyat Sarawak, terutama penduduk tempatan dan pelajar yang keluar beramai-ramai, berbaris di jalan-jalan di banyak tempat di bandar untuk mengalu-alukan dan memberi sokongan kepada Konvoi Sarawak Merdeka.
ketika Konvoi Sarawak Merdeka tiba dengan selamat di Naim Street Mall Paragon Bintulu melengkapkan perjalanan sejauh 168.3 kilometer.
Konvoi Merdeka Sarawak yang diketuai Abang Jo terdiri daripada 268 peserta terdiri daripada 56 kenderaan pacuan empat roda, 81 motosikal dan lapan bas tiba di Naim Street Mall Paragon Bintulu sekitar jam 3.15 petang selepas merempuh perjalanan sejauh 168.3 kilometer.
Perjalanan konvoi yang bermula dari Stadium Tertutup Miri pagi ini selepas upacara pelepaskan peserta konvoi oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Sri Dr Sim Hui Kian.
Konvoi itu membuat pitstop pertama di Pantai Bungai, Subis pada jam 10.14 pagi di mana Abang Jo turut mengumumkan geran sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Bekenu sebagai mengiktiraf pencapaian cemerlang mereka dalam Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) 2022.
Rombongan konvoi itu tiba di Kampung Nyalau, Bintulu pada jam 1.10 tengah hari di mana Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Majang Renggi menyambut mesra kedatangan mereka dengan paluan gendang dan bermukun sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi Naim Street Mall Bintulu Paragon kira-kira jam 1.50 petang.
Sebaik tiba di Naim Street Mall, Bintulu Paragon kira-kira jam 3.15 petang, Abang Jo disambut oleh Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom dan disajikan dengan persembahan Tarian Naga.
Turut menyambut ketibaan konvoi ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai serta dif-dif kenamaan yang lain.
Beliau, kemudiannya menyaksikan penyerahan bendera daripada Residen Bahagian Miri Jamalie Busrie kepada Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti disusuli gimik perasmian Pameran Digital sempena sambutan perayaan 60 Tahun Sarawak Merdeka Bahagian Bintulu yang melibatkan 14 pempamer terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan negeri.
Abanng meluangkan masa kira-kira sejam melawat Gerai Jualan Usahawan di Naim Street Mall, Bintulu Paragon.