Dengan dua kerusi, Ba Kelalan dan Krian masih belum berjaya dirampas balik daripada pembangkang, masihkah Barisan Nasional (BN) menganggap bahawa kawasan luar bandar ialah simpanan tetapnya?
Kalau itu tidak cukup membuktikan bahawa, ungkapan itu tidak boleh selamanya digunakan, prestasi di sembilan kawasan dengan majoriti kurang daripada 1,500 undi juga tidak memberi gambaran yang betul tentang ungkapan itu.
Sesungguhnya, tidak betul untuk menganggap kerusi luar bandar sebagai selamanya menyokong BN.
Beranggapan demikian, adalah berbahaya bagi BN sedangkan hakikatnya sudah ada semacam keberanian dalam kalangan pengundi terbabit untuk tidak mempedulikan BN.
Ya, pemimpin dan orang BN boleh sahaja menafikan hakikat ini. Mereka boleh katakan bahawa mereka menang dengan mandat lebih besar, majoriti dua per tiga. Memang, tidak ada yang menafikan BN menang 72 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan.
Bukan itu yang hendak dihujahkan di sini. Yang hendak dikatakan ialah, mengapa banyak kerusi luar bandar sekarang boleh dianggap sebagai kerusi marginal selepas menang dengan majoriti membimbangkan?
Menafikan hakikat ini adalah seperti menafikan terdapat seekor gajah di dalam kamar. Pura-pura tidak nampak walau masalah itu wujud. Sikap demikian tentu berbahaya.
Daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri dua per tiga adalah di luar bandar atau pedalaman.
Malah, daripada 11 kerusi baharu, sembilan terletak di luar bandar, manakala satu di separa bandar dan satu di bandar.
Tetapi pola pengundian di beberapa kerusi terbabit membayangkan, pengundi luar bandar pun sudah berani mengambil pendirian yang berbeza.
Mengapakah Ba Kelalan dan Krian kalah walau begitu banyak tumpuan diberikan untuk dua kawasan terbabit untuk memastikan kemenangan? Adakah calon menjadi masalah, atau strategi kempen? Atau memang calon sudah tidak kisah dengan janji pembangunan? Mereka sudah tahu janji berkenaan tidak akan ditunaikan?
Untuk buktinya lagi, Pakan hampir kalah, bukan kerana isu, tetapi lebih kerana calon. Mantan presiden Teras, Tan Sri William Mawan Ikom dianggap calon yang bermasalah.
Itulah sebabnya beliau hampir kecundang di kawasan majoriti Iban itu. Pengundi telah menghantar mesej yang jelas; sesiapa pun anda jika anda tidak bagus, kami akan tolak anda.
Atau janji pembangunan tidak lagi efektif di kawasan terbabit kerana dikalahkan oleh faktor lebih besar, iaitu protes mereka terhadap calon yang ditampilkan BN?
Pola pengundian di sekitar 10 kerusi lain perlu diberikan perhatian oleh pakar strategi BN jika mereka mahu memastikan kerusi berkenaan tidak tewas dalam pilihan raya akan datang?
Apakah yang berlaku di Ngemah dan Telang Usan sehingga majoriti undi yang diperoleh calon BN begitu rendah? Mengapa mereka masing-masing hanya mendapat 154 dan 167 undi majoriti?
Kemenangan itu ialah kemenangan yang paling tipis, sekali gus menggambarkan keadaan yang amat kritis.
Ada sebab untuk BN berasa bimbang, mengingat bahawa kawasan terbabit digempur hebat oleh mereka ketika kempen, termasuk pelbagai macam janji pembangunan?
Kalaulah calonnya bagus, tentu ada isu lain yang lebih besar. Hal ini termasuk masalah dan isu tempatan yang gagal diurus dan diselesaikan dengan berkesan oleh wakil rakyat berkenaan atau oleh kerajaan.
Yang hendak ditekankan ialah, sudah terdapat keberanian dalam kalangan pengundi luar bandar untuk menyuarakan pendirian mereka. Mereka menggunakan sekeping kertas undi untuk memberi isyarat kepada kerajaan.
Undi bagi mereka ialah senjata, iaitu senjata orang yang lemah, tetapi pada hari mengundi apabila mereka menggemblengkan tenaga, suara yang lemah itu menjadi suara yang amat lantang dan nyaring.
Mereka sebenarnya kecewa dengan keadaan yang berlaku, justeru tidak lagi mempedulikan janji-janji pembangunan.
Jadi, siapa kata mereka tidak arif dan tidak celik politik? Siapa kata mereka mengundi hanya berdasarkan perkiraan apa yang mereka dapat? Siapa kata pengundi peribumi di luar bandar dan pedalaman Sarawak, termasuk di Telang Usan, Ba Kelalan, Krian, dan Ngemah, tiada harga diri? Atau mereka boleh dibeli hanya dengan RM10, sekotak rokok, sekarton arak, dan janji-janji manis jurukempen?
Ya, siapa kata mereka pengundi yang tidak berakal, tidak berilmu, tidak bermoral, dan sanggup menggadai maruah bangsa dan masa depan mereka kerana memilih calon BN?
Sebagaimana kata Profesor Madya Dr Madeline Berma dalam catatan Facebook beliau: “Nilai undi dan suara mereka tidak semurah yang kita katakan. Berbanding dengan kita di bandar, penuh dengan kemudahan asas dan kemewahan, majoriti daripada mereka memilih calon dan parti politik yang mampu meyakinkan mereka hadiah pembangunan.”
Bagi pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu, pengundi luar bandar sudah membuat pilihan melalui peti undi berdasarkan pengetahuan, kefahaman, pengalaman, budaya, amalan dan lingkungan kehidupan mereka.
Berdasarkan pola pengundian di sekitar 10 kawasan, mereka tidak semestinya mengundi BN.
Mereka juga punya pendirian, prinsip dan harga diri.
Justeru, BN tidak lagi boleh mengambil mudah pengundi luar bandar.
Kerja untuk pilihan raya negeri ke-12 harus bermula dari sekarang, dan bukannya hanya waktu kempen lima tahun dari sekarang. – Sarawakvoice.com