Pengiran Bala pilih pemain muda tempur JDT malam tadi

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Tiga pemain Piala Presiden termasuk Nor Azizi Ramlee dan Jimmy Raymond dijangka berada dalam senarai Sarawak pada malam tadi menghadapi JDT dalam aksi Piala Malaysia.

Penolong Ketua Jurulatih Sarawak, Pengiran Bala berkata, dengan fokus pasukan kini terarah kepada Liga Super, beliau memilih untuk memberi peluang kepada pemain muda menimba pengalaman.

“Ia juga peluang untuk mereka merasai aksi dengan pemain bertaraf bintang,” katanya ketika ditemui semalam.

Pengiran berkata, para pemain ini akan berada dalam pasukan utama tahun hadapan, justeru pendedahan seperti ini adalah penting untuk mereka.

Sarawak berada dalam kedudukan terakhir dalam saingan Kumpulan D, dengan pungutan satu mata. JDT pula berada di belakang Selangor dengan empat mata.

“Ini juga ruang untuk kita merehatkan para pemain utama selepas mengharungi jadual yang terlalu rapat.

“Lazimnya pemain memerlukan rehat 48 jam, tetapi kerana perjalanan yang jauh dan meletihkan, pemain kita tidak cukup rehat.

“Ini menyebabkan mereka tidak bermaya, keletihan malah cedera,” katanya lagi.

Kata Pengiran, dengan barisan muda ini, beliau berharap para pemain akan mengikut perancangan yang dibuat.

“Kita tahu JDT akan bermain laju, tetapi kita akan cuba memperlahan permainan,” jelasnya.

Jika aksi di Larkin, pasukan Sarawak berjaya mengekang asakan bertalu JDT.

“Yang penting kita mahu berikan aksi terbaik, sambil pada yang sama mengurangkan risiko kecederaan,” jelasnya. – Sarawakvoice

Berkaitan