KUCHING: Industri penginapan sektor swasta di sekitar Kuching disaran bersedia menghadapi sambutan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) yang bakal berlangsung bermula 23 hingga 25 Jun tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan daripada pengunjung luar terhadap festival terbabit dijangka meningkat sekali gus memberi kesan terhadap permintaan penginapan secara mendadak.
“Penginapan memang akan menjadi cabaran namun ia merupakan masalah yang baik kerana memberi tindak balas terhadap pertumbuhan industri di Sarawak dan saya gembira dengan perkara ini.
“Jadi saya berharap dengan sektor (industri perhotelan) swasta kerana kerajaan tidak dapat membangunkan hotel secara berterusan kerana ada perkara lain untuk dilaksanakan.
“Hal ini sekali gus membantu pelabur rumah inap dan sebagainya di samping memberi impak positif dan peluang kepada pelabur untuk memasuki industri berkenaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penghargaan Penyumbang dan Penyokong RWMF di Raia Hotel, hari ini.
Menurut Karim, setakat ini penjualan tiket 3,000 terawal telah mendapat sambutan daripada 60 peratus pengunjung tempatan manakala 40 peratus merupakan pengunjung antarabangsa.
Bagi persediaan sektor penginapan katanya, perhotelan kategori pertengahan dan hotel Damai kini telah disahkan penuh dan sudah habis ditempah.
“Untuk Kuching, hotel kategori lima bintang dan kategori ekonomi masih ada dan untuk makluman kategori pertengahan sudah laris,” dedahnya.