Pengarah syarikat hartanah rugi RM1.5, ditipu pelaburan tidak wujud

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Gambar hiasan

KUCHING: Seorang wanita warga emas berumur 66 tahun di sini menanggung kerugian RM1.5 juta akibat ditipu sindiket pelaburan tidak wujud menerusi kenalan dikenali di media sosial.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa yang juga pengarah syarikat hartanah memberitahu telah berkenalan dengan seorang lelaki warganegara Singapura yang bekerja di Hong Kong menerusi Facebook pada April lalu.

Katanya, mangsa telah dilamun cinta dengan kenalannya itu setelah berkenalan lebih kurang seminggu menggunakan mesej melalui aplikasi Whatsapp.

“Kenalannya itu kemudiannya telah mengajak mangsa untuk mengikutinya dalam satu pelaburan perniagaan di TikTok.

“Mangsa berminat untuk menyertai pelaburan tersebut kerana dijanjikan pulangan yang tinggi sebanyak sembilan peratus daripada jumlah pelaburan untuk memindahkan wang bagi memulakan perniagaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya telah membuat 185 transaksi pembayaran kepada 21 akaun bank yang berbeza antara 14 April hingga 29 Mei lalu bagi memulakan perniagaan tersebut.

Katanya, mangsa tidak pernah mendapat keuntungan hasil pelaburan tersebut dan sedar dirinya telah ditipu setelah suspek masih lagi meminta wang daripadanya.

Katanya, mangsa telah membuat laporan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak pada semalam.

Dalam pada itu, Azman berkata, kes jenayah penipuan dalam tempoh 1 Januari 2023 hingga 30 Mei 2023 mencatatkan peningkatan sebanyak 19 kes.

Katanya, sebanyak 93 kes dicatatkan pada tahun ini berbanding 74 kes dilaporkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Sementara katanya, jumlah kerugian turut meningkat iaitu sebanyak RM5.4 juta iaitu RM8.2 juta bagi tahun 2023 berbanding RM2.8 juta dalam tempoh yang sama bagi tahun 2022.

“Usaha berterusan JSJK Sarawak bagi membendung kes penipuan pelaburan tidak wujud di negeri ini telah menghasilkan sebanyak 25 tangkapan bagi tahun 2023.

“Manakala, bagi tempih sama tahun 2022 adalah sebanyak 15 tangkapan,” ujarnya.

Tambahnya, sebanyak 37 kertas siasatan telah dituduh bagi tahun 2023 manakala sebanyak enam kertas siasatan telah dituduh bagi tempoh sama tahun 2022.

Berkaitan