Pemburu tembak rakan selepas disangka babi hutan di Julau

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Gambar hiasan

JULAU: Hasrat hendak pulang dengan hasil buruan, namun yang dibawa mayat rakan seperburuan.

Itulah tragedi yang berlaku kepada seorang pemburu yang tertembak rakan sendiri yang disangka babi hutan ketika berburu di hutan berhampiran Sungai Engkelut dekat sini semalam.

Lelaki berusia 25 tahun itu mati di tempat kejadian dipercayai selepas parah terkena tembakan.

Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai ketika mengesahkan kejadian berkata, sejurus insiden berlaku, suspek telah membuat laporan di Balai Polis Julau sekitar jam 5.15 petang.

“Lelaki berusia 36 tahun itu memaklumkan dia tertembak rakannya semasa berburu di hutan.

Sebelum itu kata Denis, kedua-duanya telah masuk ke hutan sebelum berpecah dan bertemu semula di lokasi yang ditetapkan di Sungai Kauh.

“Pada tengah hari itu, rakan mangsa menembak objek yang disangka babi hutan dengan senjata yang dibawanya.

“Namun selepas menghampiri lebih dekat, rupanya dia tertembak rakannya sendiri,” katanya.

Suspek kemudian meminta bantuan penduduk setempat untuk membawa mangsa ke rumah panjang terdekat sebelum membuat laporan polis.

Denis berkata, suspek telah ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan kematian.

Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api dan Sekyen 37 akta yang sama. –Sarawakvoice

Gambar hiasan

Berkaitan