Pemain bolasepak terbaik dunia, Lionel Messi semalam mengumumkan persaraannya daripada bolasepak antarabangsa setelah gagal menyempurnakan penalti, yang membawa kepada kekalahan keempat Argentina dalam perlawanan akhir kejohanan bertaraf dunia, dalam tempoh sembilan tahun.
“Kepada saya, saat bermain untuk pasukan kebangsaan telah berakhir,” katanya selepas Argentina tumbang kepada Chile dalam saingan akhir Copa America semalam.
Katanya, beliau telah melakukan yang terbaik dan amat menyakitkan apabila gagal menjulang kejuaraan.
Messi,29, yang sebelum ini memenangi lapan gelaran La Liga dan empat Piala Juara Juara UEFA bersama kelab Sepanyol, Barcelona hanya menang satu kejuaraan ketika bersama-sama pasukan kebangsaannya, iaitu memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik pada tahun 2008.
Selain tewas dalam dua kejohanan Copa America kepada Chile menerusi penentuan penalti, Messi juga berada dalam kesebelasan Argentina ketika pasukan itu tumpas 0-1 di tangan Jerman untuk kejuaraan Piala Dunia 2004.
Penyerang yang menerima anugerah Ballon d’Or selama lima kali ini juga berada dalam pasukan yang tumpas kepada Brazil pada perlawanan akhir Copa America 2007.
Ini cubaan saya untuk pelawanan akhir yang keempat,” kata Messi yang jelas kecewa.
Beliau mula bermain untuk Argentina pada tahun 2005 dan sejak itu telah memiliki 113 cap untuk negaranya. Beliau juga merupakan pemenang tiga kali kasut emas Eropah selepas itu.
“Saya fikir itu kehendak saya yang paling utama (kejuaraan). Tetapi saya gagal mendapatkannya dan apabila saya fikirkan semula, inilah yang terbaik untuk semua. Mulanya untuk saya, kemudian untuk semua orang.
“Saya fikir kebanyakan orang mahukan kejuaraan ini (Copa America). Sesiapa yang jelas tidak berpuas jati adalah seperti kami juga … kecewa kerana gagal memenangi kejuaraan sekalipun telah berada dalam perlawanan akhir.
Kata Messi, keputusan itu amat sukar tetapi ia telah diambil, dan beliau berusaha untuk kekal dengan keputusan tersebut.
Dalam saingan Copa America kali ini, Messi berjaya mencecah jaring lawan sebanyak lima kali termasuk ketika melakukan sepakan percuma yang cantik, dalam saingan separuh akhir menentang tuan rumah Amerika Syarikat.
Gol tersebut menjadikan beliau pemegang rekod terbanyak Argentina dengan 55 gol setakat ini, mengalahkan penyerang prolifik, Gabriel Batistuta.
Lionel Andrés “Leo” Messi memecah tangis pada 24 Jun 1987 di tengah Argentina . Membesar dengan kekurangan hormon untuk kanak-kanak, Messi pada usia 13 tahun berpindah ke Sepanyol untuk menyertai Barcelona yang bersetuju untuk membiayai rawatan perubatannya.
Beliau berkembang dengan baik ketika bersama-sama Akademi Belia Barcelona dan mula bermain untuk skuad utama pada usia 17 tahun, pada Oktober 2004.
Meski sering diuliti kecederaan pada awal kariernya, Messi kemudian berjaya meletakkannya dirinya dalam kesebelasan utama dan sebagai pemain penting di dalam kelab tersohor tersebut.
Akhirnya pada tahun 2007, beliau tersenarai sebagai calon akhir untuk anugerah pemain terbaik Ballon d’Or Fifa dan Anugerah Pemain Dunia Terbaik Fifa, dan sentiasa tersenarai selepas itu.
Setelah itu, Messi tidak menoleh ke belakang dan bakatnya terus bersinar hinggakan pada musim 2008-09, apabila beliau membantu Barcelona mencapai ‘treble’ pertama dalam bola sepak Sepanyol.
Pada usia 22 tahun, Messi diumumkan pemenang Ballon d’Or dan Anugera Permain Terbaik Dunia Fifa. Dalam tiga musim selepas itu, Messi berterusan memenangi tiga kali berturut-turut Ballons d’Or Fifa.
Pada peringkat remaja, beliau memenangi Kejohanan Remaja Dunia Fifa 2005, dan merangkul ‘bola emas’ dan ‘kasut emas’ dalam kejohanan tersebut
Pemain bertubuh kecil ini turut membantu negaranya mengutip pingat emas di Sukan Olimpik 2008 selepas itu dan kepintarannya bermain bola menyebabkan legenda bolasepak dunia, Diego Maradona, mengisytiharkan Messi sebagai penggantinya. – Sarawakvoice.com