Patuhi etika berpakaian ketika hadiri majlis kebangsaan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KOTA SAMARAHAN: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) akan mengadakan perbincangan dengan persatuan media dan agensi berkaitan untuk meneliti isu etika berpakaian dan etika kerja ketika menghadiri majlis kebangsaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, perbincangan diadakan bagi menekankan kepentingan profesionalisme dan pematuhan piawaian bersesuaian dalam kalangan media ketika membuat liputan.

“Penggunaan meluas peranti mudah alih dan media sosial oleh orang awam ketika dalam sesuatu majlis menimbulkan cabaran kawalan penyampaian liputan berita pengamal media rasmi.

“Kami hanya mengiktiraf media yang mempunyai pas media yang diiktiraf dan ketika ini kita sedang menghadapi ramai ‘wartawan tidak rasmi’ seperti pempengaruh TikTok, Facebook dan sebagainya.

“Disebabkan itu, pegawal keselamatan yang bertugas dalam sesuatu majlis terutama melibatkan tetamu kenamaan serta majlis kebangsaan memainkan peranan penting mengawasi penglibatan media yang diberi kuasa,” katanya kepada pemberita di UNIMAS di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai terdapat dakwaan berhubung segelintir pengamal media bukan rasmi yang turut membuat liputan di majlis rasmi tidak menggunakan kod pemakaian dan etika yang ditetapkan baru-baru ini.

Abdullah turut mengakui untuk mengharapkan pengamal media rasmi memakai pakaian rasmi seperti pakaian batik ketika membuat liputan agak kurang sesuai.

“Terutamanya dalam keadaan cuaca panas apabila mereka sering kali perlu menunggu dalam tempoh yang agak lama untuk membuat liputan berita dan menggunakan pakaian seperti itu mungkin agak tidak praktikal,” katanya.

Sebelum ini terdapat dakwaan pengamal media rasmi bahawa segelintir media yang membuat liputan pelancaran Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2023 di Tebingan Kuching baru-baru ini tidak mematuhi kod dan protokal etika pemakaian.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Berkaitan