Pasukan khas tangani kesesakan di hospital

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (Star) yang ditubuhkan kerajaan akan menerajui inisiatif untuk mengurangkan isu kesesakan di hospital kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof berkata, pasukan khas yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali itu akan disertai pelbagai agensi untuk membincangkan langkah penambahbaikan.

Beliau berkata, ia merangkumi langkah jangka pendek, pertengahan dan panjang, termasuk menjalin kerjasama dengan sektor perubatan swasta.

“Antaranya, jalinan kerjasama dengan sektor swasta dan pengamal perubatan dari klinik swasta untuk kongsi sebahagian pesakit.

Mereka yang tidak menghadapi penyakit kritikal boleh mendapatkan perkhidmatan di klinik swasta.

“Begitu juga (pesakit) yang datang pada waktu bukan operasi biasa…mereka boleh dihantar ke klinik kesihatan daerah berdekatan, di mana waktu operasinya dilanjutkan sehingga 12 tengah malam.

Ini antara langkah dalam program jangka pendek dan sederhana itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) berhubung langkah meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan negara, berikutan isu kesesakan di hospital kerajaan semakin membimbangkan.

Fadillah berkata, isu kesesakan di hospital kerajaan masih berlaku kerana sistem perkhidmatan semua pegawai kesihatan, seperti doktor dan jururawat, bertambah baik.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan hospital kerajaan tetap menjadi tumpuan berikutan perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan berkualiti, selain perkhidmatan yang hampir percuma berbanding bayaran di hospital swasta.

“Walaupun kerajaan mengadakan banyak usaha dengan membina hospital baharu, hospital lama dinaik taraf, klinik kesihatan, klinik desa…semuanya bertambah banyak, tetapi kesesakan masih berlaku.”

Pada masa sama, beliau berkata, isu kesesakan di hospital juga menggambarkan ramai dalam kalangan rakyat tidak mengamalkan gaya hidup sihat menyebabkan mereka terpaksa dirujuk di hospital.

Sehubungan itu, beliau menggesa semua Ahli Parlimen turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat kerana ia dapat membantu mengurangkan kesesakan serta beban ditanggung hospital kerajaan ketika ini. – Bernama

Berkaitan