KUCHING: Sarawak menolak mana-mana penceramah bebas yang tidak mempunyai latar belakang agama lengkap untuk mengadakan ceramah di masjid dan surau di negeri ini. Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Abdul Rahman Junaidi berkata, ia perlu dilakukan kerana bimbang kandungan ceramah yang disampaikan boleh menjadi punca kepada perpecahan masyarakat di dalam sesuatu kawasan.
“Justeru, pengurusan masjid dan surau di Sarawak perlu memastikan penceramah yang dijemput mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais). “Sekiranya penceramah belum mendapatkan tauliah, pastikan kita menghubungi Jais supaya tiada penceramah yang datang daripada latar belakang tertentu dan sebagainya,” kata beliau.
Adun Pantai Damai itu juga berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan MIS kepada Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam Tahun 2023, di Dewan Kompleks Islam, di sini, semalam.
Sementara itu ketika ditemui, Dr. Abdul Rahman memaklumkan perceramah bebas yang ditolak di Sarawak termasuk mereka yang tidak diberikan tauliah oleh negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Menurutnya, tidak dinafikan sebelum ini memang ada beberapa penceramah yang tidak diberikan tauliah atau tidak dibenarkan menyampaikan ceramah di negeri ini.
“Bagaimanapun, ia dilaksanakan susulan mereka tidak mempunyai latar belakang yang lengkap di dalam bidang agama dan tidak mendapat tauliah di Semenanjung Malaysia. “Apabila sebahagian negeri termasuk Jakim di peringkat Persekutuan tidak mengeluarkan tauliah, Sarawak juga tidak akan mengeluarkan tauliah kepada penceramah terbabit,” tegasnya.
Menjelas lanjut, beliau memberitahu perkara itu hanya berlaku beberapa tahun lalu dan sekarang ia sudah berkurangan. “Jadi, hanya mereka yang diberi tauliah oleh Pengarah Jais Khalidi Ibrahim dari semasa ke semasa sahaja boleh menyampaikan ceramah.
“Sekiranya penceramah masih datang menyampaikan ceramah mereka, mereka harus menghubungi pihak Jais secara peribadi,” katanya lagi. Dalam pada itu, beliau memaklumkan ia juga merupakan salah satu keputusan penting yang dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) menerusi mesyuarat yang diadakan baru-baru ini. “Setiap penceramah kita, perlu mendapat tauliah daripada Jais,” ujarnya.