KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Malaysia yang diketuai pengerusinya, Tan Sri Datuk Seri Utama Zainal Rahim Seman di Pejabat Premier Sarawak di sini, semalam.
Kunjungan hormat oleh Zainal bertujuan membincangkan mengenai fungsi-fungsi SPA Persekutuan serta cadangan untuk bekerjasama dengan SPA Sarawak.
Zainal yang ditemui media selepas sesi kunjungan hormat memaklumkan, Abang Johari telah bercadang untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam di Sarawak.
Katanya, ia bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan adalah cekap dan berkesan.
Selain itu, cadangan bagi pemilihan calon lantikan untuk memasuki sektor awam juga turut ditekankan dalam perbincangan pada kunjungan tersebut.
Hadir sama ialah, Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Seri Jalil Marzuki serta ahli-ahli suruhanjaya yang lain. – JaPen