SARIKEI : Sejumlah RM500,000 diperuntukkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menjalankan kerja naik taraf tapak pasar malam Tanjung Manis.
Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan itu, menyediakan kemudahan yang lebih selesa kepada peniaga sekali gus menambah tarikan kepada pengunjung.
Menurutnya, usaha mewujudkan pasar malam itu bertujuan memastikan peniaga kecil di daerah berkenaan mempunyai platform untuk menjana pendapatan tambahan.
“Transformasi ini juga sudah semestinya akan menarik lebih ramai pengunjung atau pembeli untuk datang ke pasar malam ini.
“Melihat kepada susunan atau suasana yang lebih tersusun dan teratur, pelanggan juga merasa lebih yakin dengan barangan yang dijual oleh peniaga,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Pasar Malam Tanjung Manis, malam tadi.
Beliau berkata, kerajaan terus komited melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan peniaga kecil daerah ini mendapat peluang untuk meraih pendapatan sekali gus meningkatkan ekonomi.
“Sehubungan itu, saya optimis lebih banyak produk akan ditawarkan di pasar malam ini supaya terus menjadi tarikan utama. Sehubungan itu, saya menggesa penduduk di sekitar daerah ini supaya tidak melepaskan peluang berkunjung ke sini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga menggesa peniaga agar mengutamakan aspek kebersihan bagi mengekalkan imej tapak berkenaan.
“Pihak berkuasa tempatan juga harus menyediakan tempat membuang sampah yang terancang selain kemudahan lain, seperti elektrik dan air bersih untuk mencuci.
“Pada masa yang sama, peniaga juga harus menjaga kualiti barangan jualan di samping tidak mengabaikan aspek kesihatan dengan memakai topi, sarung tangan atau apron sekiranya perlu,” tambahnya.