Pasang CCTV di taska

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Mewajibkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) adalah antara tiga penambahbaikan yang dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menambah baik keperluan, peraturan dan proses untuk pihak mendaftar dan beroperasi secara sah sebagai taska.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia bagi memastikan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku di taska dapat disiasat dengan lebih terperinci.

“Dengan adanya pemantauan CCTV, ia juga boleh menjadikan semua pihak lebih bertanggungjawab menjalankan tugas mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Doris Sophia Brodi (GPS-Sri Aman) yang ingin mengetahui apakah langkah kerajaan bagi menangani masalah penderaan membabitkan kanak-kanak di Dewan Rakyat, kelmarin.

Nancy berkata, penambahbaikan lain ialah pengasuh di taska diwajibkan menjalani latihan dan lulus ujian Kursus Didikan dan Asuhan Permata (KAP). 

Katanya, ini bagi memastikan pengasuh yang bertugas mempunyai kemahiran dalam mengendalikan kanak-kanak di bawah umur empat tahun. 

“Kursus ini melengkapkan mereka bukan sahaja dari segi teori, malah juga dari segi amali,” katanya.

Seterusnya, kata Nancy ialah mewujudkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan penjaga untuk menghantar anak mereka ke taska yang berdaftar. 

Katanya, operasi taska yang berdaftar akan dipantau oleh JKM dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang sewajarnya untuk keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.

Pada masa sama, beliau berkata, ibu bapa dan penjaga juga perlu memainkan peranan masing-masing, dengan lebih cakna terhadap perkembangan anak mereka seperti melakukan pemeriksaan fizikal anakanak sebelum dan selepas mereka dihantar ke taska. 

“Sekiranya terdapat tanda-tanda yang mencurigakan, ibu bapa haruslah tampil bagi mendapatkan pandangan daripada pihak yang pakar seperti doktor perubatan jika ada terdapat kesan fizikal.

“Atau pakar kaunseling jika anak tersebut menunjukkan kelakuan di luar kebiasaan yang mungkin disebabkan oleh penderaan emosi sebelum ia menjadi lebih teruk,” katanya.

Berkaitan