KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Kerajaan Tempatan dan Perumahan dijangka membentangkan pindaan Ordinan Bangunan Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Oktober depan.
Menterinya yang juga Timbalan Premier Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, pindaan terbabit membabitkan pengenalan kepada pemasangan alat pengesan asap pada setiap rumah baharu.
Katanya, pegawai kementerian diarahkan untuk meniliti ordinan tersebut sebelum dikemukakan kepada Peguam Negeri Sarawak untuk dipinda.
“Kita menerima input dari jabatan bomba dan golongan profesional seperti arkitek dan sebagainya.
“Ordinan tersebut penting dalam memperkenalkan pemasangan alat pengesan asap pada setiap rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran sempena Hari Gawai Dayak 2023 dan Prapelancaran Larian Ria Komuniti Hari Malaysia 2023, di pusat beli belah Farley, di sini Isnin.
Dr Sim berkata, pindaan itu dibuat sejajar dengan keadaan semasa kerana ordinan pada ketika ini agak ketinggalan zaman.
Malah katanya, pemasangan alat pengesan asap itu juga penting untuk pencegahan kebakaran meskipun disifatkan meningkatkan kos.
“Ini adalah untuk pencegahan. Sekiranya berlaku kebakaran, banyak kerugian yang dialami,” jelasnya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak Datuk Khirudin Drahman dan Presiden Yayasan Farley Eijing Lau turut hadir.