Pandang serius rungutan guru

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
Zulkiflee Sebli

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu memandang serius isu mengenai rungutan guru berhubung dengan arahan di luar bidang tugas mereka.

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Zulkiflee Sebli berkata, tidak dapat dinafikan terdapat segelintir guru yang berasa terbeban kerana terpaksa menjalankan tugas-tugas perkeranian.

“Janji menyediakan pembantu guru masih belum dilaksanakan sehingga kini, dan perkara tersebut juga telah menyebabkan beban tugas bertambah.

“Guru juga semakin hilang semangat untuk mengajar ditambah dengan isu-isu semasa dalam profesion dan kebajikan mereka yang terabai.

Maka tidak hairanlah jika banyak dalam kalangan guru memohon untuk bersara awal disebabkan tekanan kerja,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sehubungan itu, bagi mengatasi masalah tersebut beliau menambah, KPM perlu lebih proaktif dalam menetapkan sesuatu dasar baharu mereka.

“KPM perlu lebih banyak mengadakan libat urus bersamasama para pendidik hingga ke akar umbi. Guru ialah pelaksana segala dasar ditetapkan oleh KPM. “Para pendidik ini lebih tahu masalah yang akan mereka hadapi dalam melaksanakannya nanti.

Jangan melibatkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sahaja kerana mereka hanya menurunkan arahan. “Rungutan guru kebanyakannya akan ada dalam proses pelaksanaan, contohnya Penilaian Bilik Darjah (PBD), ketika ini mereka banyak yang tertekan dengan pelbagai permintaan dan arahan daripada pegetua, guru besar,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu KGBS berharap para guru terus bersemangat dalam mendidik anak bangsa. “Kita tahu ramai dalam kalangan mereka yang tertekan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) lalu dengan PdPR dan pelbagai aktiviti yang terpaksa dibuat secara dalam talian, guru sudah cukup tertekan.
“Jadikan PdPR sebelum ini sebagai salah satu pengalaman manis mereka walaupun sebenarnya pahit untuk terus menjunjung amanah yang telah diberi,” tegasnya.

Sempena Hari Guru, beliau mewakili KGBS mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru di Sarawak khususnya kepada ahli-ahli KGBS.

“Dengan tema Guru, Tunjang Sekolah Sejahtera, kita berharap guru akan terus istiqamah dalam mendidik anak bangsa.

Untuk menyejahterakan sekolah, para guru harus sentiasa ke hadapan dalam membantu pentadbir memperkasakan sekolah. “Sentiasa menjaga kesihatan agar dapat terus sihat sehingga ke hujung perkhidmatan,” ujar beliau.

Zulkiflee Sebli

Berkaitan