BETONG: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar hari ini mengesahkan krisis air yang melanda kawasan Kabong sejak beberapa hari lalu berpunca daripada saluran paip yang pecah.
Menurut jurucakapnya, paip 500mm itu rosak berikutan aktiviti pembinaan jalan pada Rabu lalu, dan kerja-kerja pembaikan hanya dimulakan pada Khamis.
“Keadaan ini menyebabkan bekalan air ke seluruh Kabong dan Roban terputus.
Difahamkan kerja baik pulih dijadualkan berakhir hari ini, namun mengambil masa untuk bekalan kembali stabil, setelah ditutup sepenuhnya.
Dianggarkan seramai 4,442 penduduk terjejas oleh krisis air ini, melibatkan penduduk
Kampung Hulu Laut, Kabong, Kampung Hulu Tengah, Kampung Masjid Lama, Kampung Sungai Endot, Lot 48, Kampung Lintang, dan Kampung Sungai Benang.
Turut terjejas Kampung Hilir Laut, Kampung Sungai Endot dan Kampung Gerigat.
Menurut jabatan tersebut, pihaknya telah menghantar bantuan lori tangki untuk membekalkan air kepada penduduk kawasan tersebut sejak semalam.
“Ia akan berterusan sehingga keadaan kembali pulih sedia kala,” katanya lagi.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka meninjau kampung-kampung yang terlibat pada petang esok. –Sarawakvoice