KUCHING: Padah mencederakan isteri dengan menghentak kepala dan menggigit tangan mangsa ketika bertengkar dalam sebuah kereta, seorang ahli perniagaan dijatuhi hukuman penjara dua hari dan RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh Kuan Chen Siong, 52, mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A Sesyen yang sama di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja mendatangkan kecederaan sakit terhadap isterinya berusia 51 tahun dalam sebuah kereta jenis kompak di hadapan bangunan taska kanak-kanak swasta, Jalan Pisang, kira-kira jam 8.30 pagi, 28 Mei lalu.
Manakala, pertuduhan kedua dia melakukan kesalahan yang sama di hadapan rumah mereka yang beralamatkan Jalan Kapor, sekitar jam 8.40 pagi, 28 Mei lepas.
Zaiton menjatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM1,000 atau penjara dua bulan bagi setiap pertuduhan yang dikenakan ke atas Chen Siong.
Menurut fakta kes, semasa kejadian, mangsa telah bertengkar dengan suaminya dalam sebuah kereta kerana difahamkan tertuduh ada menghubungi wanita lain melalui mesej di media sosial.
difahamkan juga, tertuduh mengakui ada menghubungi wanita lain tetapi menafikan berlaku curang terhadap isterinya.
Berang mendengar isterinya membebel, tertuduh bertindak menghentakkan kepala mangsa sebanyak tiga kali di tempat tali pinggang kereta selain mengigit tangan kanan mangsa dalam kereta mereka.
Selain itu, tertuduh juga bertindak melanggar longgokan kayu di hadapan rumah mereka hingga menyebabkan kerosakkan bahagian hadapan kereta.
Ketika keluar daripada kenderaan tersebut, mangsa meminta kunci kereta namun tertuduh bertindak menolak mangsa hingga menyebabkan terjatuh dan mengalami calar di kaki kiri, serta bengkak di lutut kanan.
Akibat kejadian itu, mangsa bertindak membuat laporan polis seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh sehari selepas kejadian.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.