KANOWIT: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa perahu karam dan terbalik di Sungai Poi di sini pada petang semalam diteruskan pagi ini.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pasukan penyelamat telah bergerak dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit dengan kenderaan utiliti menuju ke lokasi seawal 6.45 pagi.
“Mereka tiba di Nanga Menalun sekitar jam 7.35 pagi sebelum mewujudkan Pusat Kawalan Bomba (PKB).
“Anggota operasi seterusnya bergerak menggunakan bot panjang milik penduduk kampung untuk sampai ke Nanga Ulin.
Pihak bomba menerima laporan kejadian pada jam 5.37 petang semalam daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kanowit.
Berdasarkan maklumat IPD Kanowit tersebut, sebuah perahu panjang yang membawa muatan dan beberapa penumpang dari Kanowit ke Nanga Ulin telah terbalik di Sungai Poi.
Ia menyebabkan tiga penumpang dikhuatiri lemas.
Pasukan bomba yang hadir ke lokasi kejadian semalam hanya dapat sampai ke Rumah Panjang Menalun kerana Nanga Ulin hanya boleh dilalui melalui jalan sungai yang mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan menggunakan bot. –Sarawakvoice