Negara bangsa tidak boleh dibina berdasarkan fitnah – Perdana Menteri

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email
KUALA TERENGGANU: Pembentukan sebuah negara bangsa tidak boleh terbina dengan andaian dan penilaian berdasarkan fitnah dan hasutan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata sebaliknya rakyat perlu bijak menilai berdasarkan fakta dan bukti projek yang telah dilaksanakan seperti Pusat Transformasi Bandar (UTC), yang jelas memberi keselesaan kepada rakyat.

“Walaupun kita dilanda tsunami fitnah dengan cerita memburukkan kerajaan dan pemimpin, saya ingin nasihatkan bahawa kita tidak boleh membina masa depan sesebuah negara bangsa berdasarkan kepada hasutan dan serangan peribadi, sepatutnya kita menentukan (memilih) siapakah yang ada agenda yang terbaik untuk negara kita.

“Kita juga perlu menentukan bahawa kehidupan kita akan bertambah lebih baik dan (memilih) mana satu pihak yang boleh membawa negara ini ke mercu kejayaan yang kita banggakan. Inilah kriteria yang kita boleh kumpulkan untuk membolehkan kita menjadi pengundi yang matang dan tahu memilih antara permata dan kaca,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan UTC Terengganu di sini, dengan majlis turut dihadiri Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Selain itu, Najib berkata dalam menentukan pilihan pada 9 Mei ini, pengundi juga harus mempertimbangkan segala usaha yang telah dilakukan kerajaan berdasarkan fakta dan bukannya auta.

Mengenai UTC, perdana menteri berkata sejak dilaksanakan pada 2012 sehingga 2016, terdapat 21 UTC di seluruh negara dan bilangan rakyat yang menggunakan perkhidmatan UTC sudah melebihi 61 juta.

Katanya, di UTC Terengganu sahaja jumlah pengunjung terus meningkat dan untuk tiga bulan pertama tahun ni, sejumlah 186,000 orang menggunakan perkhidmatan di UTC sekali gus menjadikannya kayu ukur yang menepati slogan ‘rakyat mesti didahulukan’, yang diperkenalkannya semasa kali pertama dilantik sebagai​​​​​​​ perdana menteri.

“UTC ini benar-benar berteraskan rakyat. Kalau diukur dari segi kepelbagaian perkhidmatan di bawah satu bumbung, maka sudah tentu ia memberi kemudahan yang cukup besar kepada rakyat. 30 agensi persekutuan dan negeri serta swasta di bawah satu bumbung.

“Kalau diukur dari segi waktu operasi, dari 8.30 pagi sehingga 10 malam, juga memberi keselesaan kepada rakyat. Kalau dilihat dari segi UTC dibuka tujuh hari seminggu, ia juga memberi kemudahan yang tidak ternilai kepada rakyat,” katanya.

Najib berkata jika diukur dari segi kualiti perkhidmatan, termasuk kepantasan urusan rakyat ternyata​​​​​​​negara ini lebih baik berbanding negara lain termasuk negara maju memandangkan pelbagai perkara mampu​​​​​​​ disiapkan dalam tempoh singkat di UTC seperti pasport yang boleh disiapkan dalam sejam.

Beliau berkata sekiranya dibuat penilaian dalam bentuk keberhasilan dan keberkesanan terhadap rakyat, tentunya UTC berada di tangga yang paling atas berbanding inisiatif lain.

“Ini kerana tiada mana-mana negara di dunia yang mampu melakukan inisiatif UTC, ramai yang datang dari luar negara terpegun. mereka bertanya rahsia kita boleh melakukan perkhidmatan ini.

“Bank Dunia dan badan Komanwel serta peringkat ASEAN telah membuat peninjauan dan mereka memberi markah yang begitu tinggi kepada perkhidmatan UTC ini,” katanya.

Pada majlis tersebut, kira-kita 5,000 orang turut hadir untuk mendengar ucapan beliau dan pada masa​​​​​ yang sama ​Najib berkesempatan melawat sekitar UTC Terengganu, yang terletak di pusat membeli-belah Paya Bunga Squre dan Plaza Paya Bunga.

Terdapat 373 unit tempat letak kereta disediakan di kawasan tersebut dan mempunyai pelbagai jabatan kerajaan dan swasta termasuk Pejabat Tanah dan Galian; Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu memberi perkhidmatan di UTC itu.– BERNAMA

Berkaitan