PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak kecewa dan kesal dengan tindakan beberapa anggota senior UMNO yang disifatkannya sanggup mengkhianati parti dan perjuangan bersama selama berdekad-dekad lamanya pada waktu getir UMNO menghadapi pilihan raya umum ke-14 esok.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata beliau tidak percaya individu terbabit sanggup berbuat demikian sedangkan mereka telah mendapat pelbagai manfaat daripada parti.
“Malangnya ada orang dapat macam-macam daripada UMNO, jawatan tinggi, pendapatan yang kaya, tetapi sanggup dia tikam UMNO dalam saat-saat macam ni,” katanya di hadapan 600 veteran badan bukan kerajaan di kediaman Sri Kenangan di sini hari ini seperti dipetik umno online.
Beberapa veteran UMNO termasuk Tun Daim Zainudin, Tan Sri Rafidah Aziz, dan Tan Sri Rais Yatim telah tampil di atas pentas ceramah Pakatan Harapan, berkempen menentang UMNO-Barisan Nasional.
Najib yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan berkata beliau bagaimanapun ‘tabik’ kepada pemimpin veteran yang hadir pada majlis berkenaan kerana mesra dengan parti sejak beliau menjadi anggota Parlimen Pekan dari tahun 1976.
“Tuan-tuan dan puan-puan tak dapat apa-apa, adalah dapat ikut rezeki masing-masing tetapi saya tabik kesetiaan tuan-tuan dan puan-puan semua, tuan-tuan dan puan-puanlah pejuang sejati yang kasih dan sayang kepada UMNO dan BN,” katanya.
Najib turut mengimbau kenangannya bersama beberapa pemimpin veteran parti yang turut hadir hari ini sewaktu beliau memulakan kerjayanya dalam politik selepas pulang daripada mengikuti pengajian di United Kingdom pada usia 27 tahun.
Beliau berkata hubungannya dengan para pemimpin veteran di sini begitu mendalam, dan dengan hubungan inilah, beliau yakin akan terus menjadikan kawasan Parlimen Pekan sebagai bumi BN.
“Dari sinilah, di Kampung Langgar dan Kampung Jambu inilah semuanya bermula. Saya tak akan meninggalkan perjuangan (ayahanda) Allahyarham Tun Razak Hussein, dalam apa jua keadaan.
“Sebab memang kalau nak cerita sejarah saya di Pekan sejak 1976, selepas Allahyarham Tun Razak kembali ke rahmatullah, perjalanan sepanjang 42 tahun ini tentu banyak cerita suka dan duka, kenangan manis, hubungan peribadi dan hasil perjuangan kita bersama sejak dahulu,” katanya. –Sarawakvoice