KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,beliau geram kerana BN tewas dua kali kepada pembangkang di Parlimen Lembah Pantai pada 2008 dan 2013.
Menurut Najib, kekalahan BN di Lembah Pantai adalah akibat permainan fitnah pihak pembangkang.
“Kita kalah disebabkan fitnah pihak pembangkang, bukan kalah kerana fakta. Itu yang membuatkan saya bertambah geram,” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap di dalam Program Gotong-royong dan Santai Bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Pantai Indah Fasa 2, Lembah Pantai pada Ahad.
Justeru, beliau mahu memastikan BN menang dalam PRU ke-14.
“Takkan kita kalah kerana fitnah. Kalau mahu menang pun biarlah menang di atas fakta, atas kebolehan kita. Bukan memang kerana auta, tetapi menang kerana fakta,” katanya.
“Bukan hanya setakat pandai bercakap di dalam Parlimen atau pun membuat fitnah di media sosial. Kita mahu menang kerana kita memikirkan soal periuk nasi rakyat itu dapat diuruskan dengan baik,” jelasnya.
Justeru, Perdana Menteri mahu pengundi di Lembah Pantai memilih calon yang mampu menguruskan kehidupan rakyat supaya menjadi lebih baik.
“Selama 10 tahun di bawah pembangkang, adakah kehidupan kita di sini menjadi lebih baik? Sebab itu, wakil rakyat sebelum ini lari ke kawasan lain. Dia angkat punggung dan lari jauh ke Permatang Pauh,” tegasnya.
“Kenapa dia tidak kekal di sini? Dia sebenarnya sudah takut untuk bertanding di kawasan ini. Sebab itulah, bila saya memilih calon bersama pemimpin tertinggi BN, kriteria yang saya utamakan ialah dari sudut prestasi, sama ada calon itu diterima oleh rakyat atau tidak,” katanya lagi. –Sarawakvoice