KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru lebih ramai rakyat Malaysia mengambil peluang sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2017 (MSAM 2017) untuk melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Beliau berkata Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa pelaburan dalam Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Bumiputera sebagai harus.
“Ini kerana Permodalan Nasional Berhad (PNB) tidak melabur dalam sektor yang nyata haram seperti arak dan judi.
“Labur dalam Amanah Saham Bumiputera adalah satu langkah yang bijak kerana pulangannya yang tinggi. Saya harap lebih ramai akan ambil peluang untuk meningkatkan simpanan masing-masing,” katanya dalam catatan di laman Facebook dan Twitter beliau malam ini.
Dalam catatan itu, Najib turut memuat naik beberapa infografik mengenai pelaburan dalam ASB, termasuk tiada wang atau fi pendahuluan diperlukan, berisiko rendah, pulangan yang lebih tinggi daripada bank-bank konvensional dan pengeluaran serta merta boleh dibuat jika berlaku kecemasan.
Perdana Menteri merasmikan MSAM 2017 yang bertemakan ‘Pelaburan 360 PNB’ di Temerloh, Pahang hari ini.
MSAM 2017 yang berlangsung selama enam hari sehingga 25 April, dijayakan oleh 12 syarikat Kumpulan PNB termasuk Malayan Banking Berhad, Sime Darby Berhad, I&P Group Sdn Bhd, SP Setia dan UMW Holdings Berhad. Bernama