Muzium Budaya Borneo popular

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Muzium Budaya Borneo (BCM) telah menerima pelawat seramai 121,379 setakat 18 Mei 2023, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Beliau berkata, ini menjadikan BCM menerima pelawat sebanyak 680,714 sejak dirasmikan pada Mac 2022.

Katanya, pada 2022, pelawat dari Malaysia berjumlah 547,803 bersamaan dengan 97 peratus diikuti dengan warga asing iaitu seramai 11,532 pelawat.

“Sementara itu, bagi Januari hingga pertengahan Mei 2023, jumlah pelawat Malaysia ialah seramai 114,096 bersamaan dengan 94 peratus, manakala 7,283 bersamaan dengan enam peratus pelawat merupakan warga asing terutamanya dari China, Indonesia dan Australia.

“Sejak pembukaannya, BCM terkenal dalam kalangan orang ramai termasuk duta asing, menteri, konsulat, agensi kerajaan negeri dan persekutuan, institusi pendidikan dan agensi badan bukan kerajaan (NGO) dan termasuk tetamu kehormat iaitu Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong yang melawat pada 29 Mac dan 5 Julai 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini Selasa.

Tambah Abdul Karim, pada 2023, BCM menerima kunjungan daripada beberapa tetamu kehormat termasuk Delegasi Ekonomi Jerman pada 18 Februari lalu.

Turut melawat BCM ini mantan Duta Arab Saudi; Duli Yang Maha Mulia Raja Puan Muda Perak; lawatan Kedutaan China ke Malaysia; Duta Besar Republik Croatia; Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Am wilayah Fujian; Perwakilan Fujian China dan diikuti dengan Pesuruhjaya Tinggi Brunei.

BCM turut menerima kunjungan daripada pelbagai institusi pendidikan seperti prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta universiti awam dan swasta.

“BCM berjaya mendapat maklum balas positif daripada warga tempatan dan asing berikutan dengan cara artifak dipamerkan di BCM yang telah menetapkan standard yang tinggi untuk dicontohi oleh muzium lain di Malaysia.

“Selain itu, kemudahan di BCM yang merangkumi auditorium, bilik majlis, dewan pameran sementara dan Galeri Seni dan Kraf berjaya menganjurkan 123 acara sejak Ogos 2022 yang termasuk bengkel, persidangan, pameran, program sekolah, penggambaran video, persembahan seni dan majlis graduasi sekolah dan kolej,” ujarnya.

Justeru, Abdul Karim menjelaskan rakyat Sarawak harus bangga kerana mempunyai sebuah muzium bertaraf dunia sebagai penanda aras untuk muzium lain, agensi dan institusi.

Berkaitan