Milik Kerajaan S’wak bermula Hari Malaysia

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUCHING: Penyerahan kuasa perundangan Bintulu Port atau Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Sarawak berkuat kuasa pada Hari Malaysia tahun ini.

Menurut Timbalan Premier merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pelabuhan Bintulu perlu dinyahpersekutuan dan dikawal selia di bawah bidang kuasa Kerajaan Sarawak bagi kepentingan ekonomi negeri ini.

“Penyusunan semula Pelabuhan Negeri yang akan datang akan berada di bawah Lembaga Pelabuhan Negeri.

“Pelabuhan Bintulu sepatutnya menjadi salah satu kluster Pelabuhan Negeri dan pembangunan serta pertumbuhan masa hadapannya akan diselaraskan dengan pelabuhan lain di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan pada persidangan hari terakhir di DUN Sarawak ke-19, di sini, semalam.

Katanya, Kerajaan Sarawak telah mengumumkan hasrat untuk mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada Putrajaya. Berhubung perkara tersebut, rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan sedang berjalan san akan diteruskan di bawah agenda Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sehubungan itu, Uggah turut memberitahu Sarawak telah mengalami peningkatan keseluruhan kargo yang dikendalikan di Pelabuhan Negeri bagi 2022.

“Pelabuhan Negeri Sarawak mencatatkan jumlah daya pengeluaran sebanyak 22.95 juta tan metrik.

Peningkatan yang ketara adalah sebanyak 11.4% berbanding 20.61 juta tan metrik yang dikendalikan pada tahun sebelumnya,” ujarnya.

Tambahnya, pelabuhan Kuching, Rajang, Samalaju dan Miri telah menunjukkan peningkatan daripada tahun sebelumnya.

“Pelabuhan Kuching mengendalikan 9.87 juta tan pada 2022, meningkat 11% daripada 8.89 juta tan pada 2021 manakala Pelabuhan Rajang mencatatkan 1.49 juta tan, meningkat 5.7% daripada 1.41 juta tan. 

“Sementara itu, Pelabuhan Samalaju yang dikendalikan oleh pengendali pelabuhan yang diluluskan, mengendalikan 6.73 juta tan merekodkan peningkatan sebanyak 26.3% daripada 5.33 juta tan pada 2021, manakala Pelabuhan Miri mencatatkan peningkatan 6.3% dalam pengeluaran kargonya sebanyak 3.21 juta tan berbanding 3.02 juta tan,” jelasnya.

Bagaimanapun tambahnya, Pelabuhan Tanjung Manis mengalami penurunan sebanyak 15.8 peratus dalam kargo yang dikendalikan daripada 1.96 juta tan metrik pada 2021 kepada 1.65 juta tan pada 2022. 

“Penurunan ini disebabkan terutamanya oleh kuasa pasaran di mana syarikat perkapalan menghubungi terus ke Pelabuhan Rajang untuk kargo ke Sibu,” katanya.

Tambahnya lagi, peningkatan keseluruhan dalam pengeluaran kargo menunjukkan Sarawak berada di landasan yang betul untuk pemulihan dan pertumbuhan ekonomi.

Berkaitan