ASAJAYA: Ekspo Pendidikan 2022 memberi peluang kepada pelajar termasuk di Daerah Asajaya untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarat kemasukan ke institut pengajian tinggi (IPT) awam khususnya di Sarawak.
Pegawai Daerah Asajaya Rais Ahmad berkata, penganjuran program sedemikian sangat penting untuk pelajar SPM dan STPM di kawasan pinggir bandar supaya tidak ketinggalan dalam mendapatkan maklumat.
“Saya berharap pelajar di daerah Asajaya dan Sadong Jaya dapat mengambil peluang ini untuk mengetahui cara melanjutkan pengajian ke IPT dengan kelayakan mereka, sekali gus dapat meningkatkan kemajuan diri.
“Pada masa yang sama, mereka juga dapat berjumpa terus dengan wakil IPT awam yang ada dan boleh mendapatkan maklumat secara terus,” katanya kepada pemberita selepas mewakili Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan yang juga Adun Asa Jaya pada Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Asajaya 2022 di Kompleks Sukan Asajaya, Sabtu.
Antara agensi dan IPT yang terlibat dalam Ekspo Pendidikan Asajaya 2022 adalah Yayasan Sarawak; Universiti Teknologi Swinburne; Universiti Teknologi Sarawak (UTS); Universiti Curtin; Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs); Kolej Universiti i-CATS; Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS); Kolej SATT; Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan; Pejabat Penerangan Samarahan serta Pejabat Tanah dan Survei.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan ekspo tersebut juga mendapat sambutan baik dalam kalangan pelajar di daerah tersebut.
Beliau turut menyempurnakan penyerahan baucar Yayasan Sarawak kepada 10 pelajar cemerlang dari kawasan Asajaya iaitu Habib Batrsyia Hamra Mohd Khairuddin (SMK Asajaya); Mohammad Haziq Ikmal Ismawi (SMK Hajah Laila Taib); Nur Izzati Abu Palata (SMK Asajaya); Nur Arina Nazirah Kasim (SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud); Siti Nurafiqah Jamaludin (SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud); Nur Azizah Zahirah Ahmad (SMK Asajaya) dan Chai Xin Yang (SMK Hajah Laila Taib).
Turut disampaikan adalah baucar pakaian seragam kepada 32 sekolah rendah dan menengah di kawasan Asajaya.