Medan penyatuan ummah

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

MALUDAM: Umat Islam diseru untuk terus bersatu dalam meletakkan kepentingan agama dan kemaslahatan umat melangkaui kepentingan lain.

Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Kepli berkata, kehadiran Ramadan patut dijadikan medan penyatuan ummah dalam memelihara serta mendaulatkan Islam.

“Justeru dengan semangat puasa di bulan mulia ini, bersama-samalah kita bersatu dalam meletakkan kepentingan agama dan kemaslahatan umat.

“Sesungguhnya, Ramadan merupakan madrasah imaniah bagi membetulkan dan membina semula neraca akal, hati dan kehidupan seorang muslim,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ihya Ramadan di Kampung Triso dan Maludam dekat sini, kelmarin.

Jelasnya, tanggungjawab meletakkan kepentingan agama harus digalas semua umat Islam.

Beliau menambah, pensyariatan puasa yang disebut dalam al-Quran menerusi Surah al-Baqarah ayat ke-183 menjadi suatu petanda bagaimana antara rahsia di sebalik ibadah puasa adalah untuk menanam perasaan kesatuan antara umat Nabi Muhammad dengan umat yang terdahulu.

Beliau mengajak umat Islam merebut peluang bagi meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan pelbagai ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

“Jika sebelum ini kita meletakkan kepuasan hawa nafsu di hadapan, tetapi dalam bulan maghfirah ini kita menundukkannya, sekali gus membawa ke arah ketaqwaan dan keimanan.

“Selain itu, kita perlu menginsafi diri dengan membantu fakir miskin, anak-anak yatim dan golongan yang kurang bernasib baik,” ujarnya.

Dalam pada itu juga katanya, perbuatan membazir harus dielakkan, sementara sikap suka bersedekah mesti dipupuk.

Shafizan meluangkan masa bersama-sama penduduk di Kampung Triso dalam majlis sungkei yang turut disertai barisan ketua masyarakat dan ketua kaum dari Maludam.

Untuk solat sunat tarawih, beliau berjemaah di Kampung Maludam. Kesempatan yang ada juga, beliau menghulurkan sumbangan kepada 50 asnaf terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), anak-anak yatim dan warga emas.

Sedikit buah tangan berupa dana turut disampaikan kepada pihak Masjid Triso, Masjid Maludam serta tiga surau di Kampung Maludam, yang diharapkan dapat dimanfaatkan untuk program pengimarahan sepanjang Ramadan.

Berkaitan