KUCHING: Segala isu yang dihadapi masyarakat India di Sarawak akan diberikan perhatian sewajarnya.
Ahli Dewan Negara Senator Saraswathy Kandasami berkata, perkara tersebut termasuk isu berkaitan pendidikan dan status pemastautin (residentship status) masyarakat India di sini.
Katanya, beliau mengetahui isu berkenaan daripada pemimpin persatuan India semasa lawatan kerja rasminya di sini pada 25 Mac lalu.
“Saya telah berjumpa dengan semua ketua persatuan India di sini semalam (25 Mac), dan daripada apa yang saya dapatkan mereka berasa suara mereka tidak didengari oleh Kerajaan Persekutuan.
“Antara perkara lain yang turut dibangkitkan adalah masyarakat India di sini berasa mereka tidak mendapat biasiswa persekutuan yang mencukupi serta penempatan di universiti.
“Selain itu, ada yang mengatakan mereka pernah berkhidmat dalam angkatan tentera dan berkahwin dengan penduduk tempatan di sini telah meminta agar permohonan penduduk tetap disegerakan.
“Justeru, saya akan menyampaikan permintaan, harapan dan aspirasi mereka kepada Kerajaan Persekutuan dan agensi atau kementerian masing-masing untuk meneliti isu ini dengan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika temui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Koperasi Bersama Komuniti India Kuching di Dewan Persatuan India Kuching (IAK), semalam.
Saraswathy yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga diminta untuk mengulas sama ada beliau mempunyai rancangan bagi membantu masyarakat India di Sarawak atas kapasitinya sebagai senator.
Sehubungan itu, berhubung isu biasiswa dan penempatan di universiti, beliau memaklumkan akan bercakap dengan agensi masing-masing yang boleh membantu pelajar khususnya B40 termasuk pelajar M40.
“Malah turut membantu mereka yang diklasifikasikan sebagai M40 kerana segelintir daripada mereka mungkin mempunyai keluarga besar atau ibu tunggal, dan menghadapi masalah kewangan.
“Di Semenanjung, kumpulan ini mempunyai akses kepada kemudahan dan inisiatif lain, tetapi di Sarawak, mereka terpinggir,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu ini kali pertama dirinya berhadapan dengan isu yang memberi kesan kepada masyarakat India di Sarawak.
“Isu inilah yang pertama kali saya dengar, jadi saya akan bawa kepada Kerajaan Persekuan serta agensi masing-masing yang bertanggungjawab,” tegasnya.