KUCHING: Masyarakat Dayak diseru untuk memberikan fokus dalam isu pendidikan bagi meningkatkan taraf hidup sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pendidikan merupakan perkara penting dalam kehidupan masyarakat khususnya kaum Dayak di negeri ini.
“Isu Kemiskinan bukan lagi alasan untuk kita tidak bersekolah, kerana Kerajaan Sarawak telah banyak menyediakan bantuan dan Yayasan Kebudayaan Dayak juga membantu masyarakat terutamanya orang Dayak untuk mendapatkan pendidikan.
“Ini kerana pendidikan yang membawa ke mana kita hari ini, dan ia juga membantu kita keluar daripada kemiskinan.
“Kita juga akan melakukan apa sahaja yang boleh untuk membantu, supaya anak-anak Dayak dapat menerima pendidikan yang terbaik. Pintu kami sentiasa terbuka, pejabat kami juga sentiada terbuka (memberikan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengerami Ngiling Bidai anjuran Persatuan Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) di Pusat Konvensyen Penview, Demak, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru agar masyarakat memberikan sokongan kepada program anjuran kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) khususnya dalam isu pendidikan.
Katanya lagi, disebabkan perkara tersebut juga sejumlah RM150,000 peruntukan telah diluluskan untuk DTTAS bagi penganjuran Karnival dan Jerayawara Pendidikan 2022 (Education Roadshow 2022).
Hadir sama Pengasas DTTAS Wellie Henry Majang; Naib Presiden II DTTAS Diana David Itang; Pemangku Pengarah Pertanian Sarawak Dominic Chunggat; Pemangku Pengarah Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) Pascal Dagang serta wakil yang lain.