KUALA LUMPUR: Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyarankan agar masyarakat Islam mengurangkan acara rumah terbuka yang terlalu banyak di negara ini sehingga berlaku pembaziran
Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sebaliknya, adalah lebih afdal masyarakat Islam berusaha menyalurkan sumbangan kepada jutaan kaum Muslimin yang kini menjadi pelarian dan menghadapi nasib yang sangat malang akibat konflik berpanjangan di beberapa negara di Timur Tengah.
“Kami berpandangan bahawa perlu ada satu anjakan di kalangan umat Islam di negara ini yang terlalu tertumpu kepada jamuan makan dalam pelbagai jenis sambutan sehingga berlaku pembaziran. Acara rumah terbuka yang menjadi suatu kebanggaan di kalangan rakyat di negara ini kini menjadi agak keterlaluan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kini, menjadi amalan pelbagai pihak menganjurkan acara rumah terbuka.
“Padahal terlalu ramai umat Islam yang teraniya yang tidak mendapat makanan asas sehingga berlaku kebuluran di tengah-tengah kemewahan makanan yang dibazirkan oleh golongan kaya di kalangan umat Islam,” tambahnya.
Katanya, mengadakan rumah terbuka bertujuan mengeratkan silaturahim dan menjalinkan perhubungan antara kaum di negara ini adalah baik.
Namun, katanya, terlalu banyak rumah terbuka dan hidangan juadah makanan yang pelbagai aneka yang akhirnya jika dinilai dalam bentuk wang, ratusan ribu malah jutaan ringgit itu lebih baik diutamakan kepada masyarakat Islam yang kebuluran seperti di Somalia, Sudan, Afganistan, Gaza (Palestin), Syria dan Myanmar.
Justeru, katanya, Mapin menggesa seluruh kaum Muslimin menghayati erti ibadah Ramadan serta sambutan Aidil Fitri dalam erti kata sebenar.
Katanya: “Menjelang sambutan hari raya puasa beberapa hari lagi, petanda keghairahan berbelanja berlebihan oleh sebahgian besar masyarakat Islam masih terus diamalkan tanpa memahami maksud Aidil Fitri itu disambut.”
Mapin kesal sikap menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai pesta membeli-belah dan jamuan hari raya yang penuh dengan pembaziran.
“Masyarakat Islam terbawa-bawa dengan pengaruh iklan dan promosi produk untuk berhari raya yang melampaui batas. Iklan sambutan hari raya dengan pelbagai gimik jualan telah menjadikan Aidilfitri yang sepatutnya merupakan hari suci bagi umat Islam akan tetapi dicemari dengan ciri-ciri yang bertentangan dengan roh yang dididik ketika menjalani ibadat Ramadan,” katanya.
Katanya, terlalu ramai umat Islam yang masih tidak dapat memenuhi keperluan asas untuk makan, tempat berteduh, berpakaian yang sempurna, pendidikan dan rawatan kesihatan asas.
“Malangnya di tengah-tengah gambaran pedih itu, masih ramai umat Islam yang tidak kisah membazirkan makanan, pakaian dan pelbagai sumber yang berharga untuk masyarakat Islam yang terpinggi,” katanya.
“Harus diinsafi betapa sengsaranya pelarian Syria, Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Libya, Yemen. Semuanya menghadapi fitnah paling getir untuk menyambung nyawa dalam keadaan yang sangat tertekan. Bukankah membantu mereka ini jauh lebih utama berbanding memenuhi kepuasan nafsu berhari raya berlebihan yang tidak pernah puas-puas?,” katanya. – Sarawakvoice.com