KUCHING: Seramai 50 artis daripada ahli Kelab Peminat P. Ramlee Sarawak (KPPRS) membuat persembahan pada program Malam Bulan Di Pagar Bintang malam kelmarin.
Pentas pada malam itu turut menyaksikan sebanyak 14 lagu yang dipetik daripada enam filem arahan dan lakonan seniman agung Allahyarham P. Ramlee dipersembahkan sebagai halwa telinga tetamu.
Antaranya filem Anakku Sazali dan Semerah Padi (1956); Sarjan Hassan (1958), Musang Berjanggut dan Pendekar Bujang Lapok (1959) serta Ibu Mentuaku (1962).
Filem tersebut juga dijadikan tajuk kupasan yang dibincangkan dalam pemikiran pada seminar yang dianjurkan beberapa hari yang lalu.
Persembahan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pusataka (DBP) bermula pada jam 8.30 malam hingga 9.30 malam itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut memeriahkan program ialah Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Datuk Seri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Presiden KPPRS merangkap Sasterawan Negeri Sarawak Datuk Dr Adi Badiozaman Tuah, Timbalan Menteri Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri- Persekutuan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta wakil yang lain.