KUCHING: Mahkamah Rayuan Paris semalam mengekalkan keputusan untuk membenarkan Malaysia mencabar partial award yang diberikan oleh Dr Gonzalo Stampa pada 25 Mei 2020 berhubung tuntutan lapan warga Filipina yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan itu bermaksud penuntut tidak boleh bergantung kepada award yang diputuskan di Perancis iti untuk sebarang tujuan.
Menurutnya, Mahkamah Rayuan Paris juga mendapati penimbang tara (Stampa) telah tersalah mempertahankan bidang kuasanya.
“Keputusan ini juga yang muktamad serta mengikat, adalah satu kemenangan yang nyata buat Malaysia dalam perjuangannya untuk mendapatkan remedi dari segi perundangan.
“Malaysia yakin ini akan mengakibatkan kekalahan menyeluruh bagi penuntut dan pembiaya mereka,” katanya menerusi kenyataan malam tadi.
Jelasnya, sebagai sebahagian daripada strategi agresif penuntut, mereka sebelum ini menyasarkan aset diplomatik Malaysia di Perancis termasuk sebahagian daripada (kedutaan) berdasarkan award ini.
“Bagaimanapun Malaysia telah memerangi langkah ini atas dasar kekebalan diplomatik.
“Mereka kini perlu menarik diri susulan keputusan yang enggan memberi sebarang kesan terhadap award diputuskan di Perancis itu,” ujarnya.
Tegas Pengerusi Sekretariat Khas itu, keputusan tersebut membayangkan bahawa Mahkamah Rayuan Paris akan membatalkan Final Award yang dikatakan, yang mana Stampa telah memberikan hampir USD 15 bilion kepada penuntut.
Justeru katanya lagi, kini Malaysia sedang berusaha agar pembatalan itu direkodkan dalam keputusan mahkamah secepat mungkin, yang seterusnya menggagalkan usaha untuk menguatkuasakan award tersebut di seluruh dunia oleh penuntut.