Mahathir sanjung tinggi Anwar, sudi maafkan beliau

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyanjung Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya yang sanggup memaafkan beliau demi Malaysia yang lebih baik.

“Saya terhutang budi dan berterima kasih kepada keluarga Anwar Ibrahim kerana sanggup membelakangkan apa yg telah berlaku pada masa lalu, untuk menyelamatkan Malaysia,” katanya menerusi akaun Twitter dan Facebook selepas selesai Konvensyen Pakatan Harapan semalam mengenai sikap berlapang dada Ketua Umum Pakatan Harapan itu.

“Perjuangan rakyat fokus utama kami berdua,” katanya.

Beliau merujuk kepada usaha Pakatan Harapan untuk menggulingkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Semalam Pakatan Harapan dalam konvensyennya mengumumkan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Tun Mahathir  memecat Anwar  sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998 kerana disifatkannya tidak layak menjawat jawatan itu.

Anwar kemudian  menggerakkan Reformasi yang menyaksikan lebih 50,000 berarak di ibu kota mendesak pengunduran Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Namun kemudiannya didapati bersalah oleh mahkamah dalam kes liwat.

Anwar menerusi mesej yang disampaikan anaknya Nurul Izzah Anwar menyeru rakyat agar “bertumpu soal dasar dan prinsip perjuangan.”

Tun Mahathir semalam menggesa semua parti dalam Pakatan Harapan  supaya melupakan permusuhan silam antara mereka dan memfokuskan usaha menggulingkan BN pada PRU-14, beberapa minit selepas gabungan itu menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri.

“Bila kita utamakan sesuatu, kita harus lupa yang lepas kerana dia akan ganggu usaha kita untuk menjayakan perjuangan itu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan H 2018 itu.

Berkaitan