Mahathir minta Hadi Awang bertaubat

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sepatutnya bertaubat kerana mengeluarkan ‘Amanat Haji Hadi’ sehingga menyebabkan umat Islam berpecah-belah dan kematian dalam kes Memali.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, Abdul Hadi melakukan banyak kerosakan terhadap agama dan orang Islam di Malaysia hingga perpecahan itu menyebabkan umat Islam lemah.

Kata bekas Perdana Menteri yang memerintah selama 22 tahun itu, perpecahan dan permusuhan sesama orang Islam di Malaysia bermula dengan penubuhan parti Pas.

“Dianya tidaklah begitu buruk sehingga Hadi keluar Amanatnya. Sesungguhnya Hadi berdosa besar dan Hadi perlu bertaubat dan batalkan Amanatnya,” katanya dalam catatan terbaharu blognya.

Gambar fail

“Hadi suruh saya bertaubat. Sebenarnya yang mesti bertaubat ialah Hadi sendiri. Allah melarang dalam al-Quran umat Islam berpecah-belah dan berpuak-puak,” katanya.

Ujarnya, Abdul Hadi mengkafirkan orang Islam di Malaysia.

“Allah SWT melarang perbuatan mengkafir dan berjanji sesiapa yang mengkafirkan orang Islam, kafir itu akan kembali kepada mereka. Inilah yang terjadi kepada Hadi dan PAS apabila bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Malah, katanya, disebabkan Abdul Hadi dalam amanatnya mengkafirkan pemerintahan Malaysia, maka empat anggota polis dibunuh oleh pengikut Allahyarham Ibrahim Libya kerana mereka percaya sedang berjihad dan mati syahid.

“Perpecahan yang berlaku dikalangan orang Melayu Islam di Malaysia amat mendalam. Ada yang menafi keIslaman ibubapa mereka. Ada di antara orang PAS yang menidakkan keIslaman isteri, yang berkahwin sekali lagi.

“Ada yang sembahyang berasingan, dengan imam lain; yang tidak sanggup dikebumi di kubur biasa kerana kononnya kubur itu kubur orang kafir. Ada yang bangun masjid berasingan sehingga sekarang ini pun. Inilah hasil Amanat Hadi. Ia adalah satu dosa besar. Kerana ini sahaja pun ia perlu bertaubat,” katanya. – Sarawakvoice

Berkaitan