KUALA LUMPUR: Dua musuh tradisi dalam politik negara Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan bertemu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jam 4 petang hari ini.
PKR melalui jemputan media petang semalam berkata, pertemuan dua pemimpin terbabit akan diadakan di Hospital Rehabilitasi Cheras.
Anwar sedang menjalani pemulihan selepas pembedahan bahu pada November tahun lalu.
Pada Ahad, Pakatan Harapan bersetuju mencalonkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai timbalannya.
Mahathir bertentang mata untuk pertama kali di Mahkamah Kuala Lumpur dengan bekas timbalan yang dipecatnya pada 1998 itu pada September 2016.
Empat keping gambar Anwar berjabat tangan dengan mentornya sambil tersenyum tersebar di media sosial ketika itu.
Gambar merakamkan pertemuan bersejarah itu dikongsikan oleh presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail di laman Facebook rasminya.
“Pertemuan pertama selepas 18 tahun 2 hari sejak 2 September 1998,” kata isteri Anwar itu.
Beliau menyatakan tarikh Dr Mahathir memecat timbalannya itu yang mencetuskan krisis politik dalam laungan “Reformasi”.
Dr Mahathir hadir di mahkamah tersebut untuk menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN). — Sarawakvoice