KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad ternyata berang kerana RoS melengah-lengahkan pendaftaran Pakatan Harapan.
Bekas perdana menteri yang memerintah selama 22 tahun itu berkata, disebabkan Barisan Nasional (BN) dan kerajaan takut dengan gabungan parti lawan, maka kelulusan untuk pendaftaran gabungan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) tidak diberikan sehingga kini, meskipun setelah berbulan-bulan permohonan dibuat.
“Caranya mudah. Tidak lulus secara rasmi. Tidak tolak secara rasmi. Tetapi tidak beri jawapan samada lulus atau tidak. Hanya tidak jawab. Dalam pertimbangan. Belum lulus tidak berbeza dari tidak lulus,” tulisnya dalam entri terbaharu di blog Chedet.cc,
“RoS tidak jawab surat. Tunggu Menteri. Menteri hilang. Ada tetapi tidak ada. Jadi tidak dapat jawab. Sebulan, dua bulan, suku tahun, setengah tahun. Tak jawab. Bukan tolak. Hanya tak jawab.
“Mungkin dilulus 5 minit sebelum bubar Parlimen,” katanya.
Kata Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, ketiadaan kenyataan jelas daripada RoS berhubung status permohonan Pakatan Harapan dilihat sebagai usaha untuk mengelirukan pengundi menjelang PRU14 nanti.
“Logo dan simbol tidak dikenali oleh orang ramai, oleh pengundi. Maka terkelirulah mereka apabila mengundi. Kempen parti lawan bermasalah,” katanya lagi.
“Itulah nasib yang menunggu kamu.Ya, kamu patut takut. Bagi yang membuat dosa ada balasan lagi di akhirat,” katanya. – Sarawakvoice